KUCHING: Bot yang karam dalam satu latihan sempena Regata Sarawak 2024 milik pasukan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) karam selepas bertembung dengan arus deras yang dihasilkan oleh sebuah bot nelayan.
Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching, Asisten Komisioner, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 3.47 petang tadi melibatkan 16 mangsa, dengan 11 daripadanya sempat menyelamatkan diri, manakala lima masih hilang.
“Punca kejadian ini adalah, ketika bot ini berlatih, sebuah bot nelayan datang dari arah bertentangan, menyebabkan arus air yang dihasilkan oleh bot tersebut masuk ke dalam bot regata ini.
“Jadi, semua mangsa yang terlibat berpaut kepada bot, menyebabkan bot ini karam. Selepas karam, (mangsa) masing-masing menyelamatkan diri.
“Setakat jam 7.20 malam ini operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dihentikan susulan keadaan cuaca yang kurang mengizinkan.
“Bagaimanapun, kami masih mencari menggunakan dron yang dilengkapi dengan pengesan haba untuk mengesan apa-apa di permukaan air ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pusat operasi Carilamat mangsa bot regata UKPS, di Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa, di sini, malam ini.
Dalam apda itu, Farhan Lee juga menyatakan bahawa operasi Carilamat akan diteruslan seawal 6 pagi esok.
“Pada hari kedua (esok) operasi Carilamat, kita akan pecahkan kepada dua kumpulan, iaitu yang pertama, akan mencari di lokasi kejadian ke arah muara sungai.
“Pasukan kedua pula akan bermula dari arah muara sungai ke lokasi kejadian,” jelasnya.
Tambah Farhan Lee, pihaknya telah memaklumkan kepada Lembaga Sungai Sarawak bahawa pihak polis akan memantau aktiviti latihan yang dijalankan oleh pasukan yang akan bertanding pada Regata Sarawak akan datang di Sungai Sarawak.
“Kami akan memantau pasukan lain, agar mereka menggunakan jalet keselamatan semasa latihan,” katanya.
Farhan lee turut menjelaskan bahawa, siasatan berkaitan sama ada mangsa-mangsa menggunakan jaket keselamatan ketika latihan masih dalam siasatan.
Beliau turut mengalu-alukan orang awam seperti persatuan nelayan untuk turut serta dalam operasi Caripamat ini bagi membantu mencari mangsa yang hilang.
Orang awam dinasihatkan agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kejadian.
Untuk makluman, hari ini adalah hari ketiga pasukan UKPS menjalankan latihan bagi menghadapi Regata Sarawak yang bakal dianjurkan bermula 1 November depan.
Individu yang hilang telah dikenal pasti berusia lingkungan 22-35 tahun.
Mangsa yang belum dijumpai adalah Mohamad Ikhmal Sama’ai, Majurie Maharuf, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, Mohamad Khairul Bidin dan Muhammad Khairul Hisyam Kasturi.
Oleh SHAHRUL QAIZAT