SARATOK: Pemandu dan kelindan berhadapan detik cemas apabila lori kargo yang dinaiki mereka tiba-tiba terbakar dalam kejadian di Jalan Pan Borneo, Saratok-Roban dekat sini pagi tadi.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok menerima panggilan berkaitan kebakaran itu sekitar jam 1.10 pagi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran sebuah lori kargo jenis Hino berwarna putih terbakar dibahagian kepala lori.
“Pemandu dan kelindan lori masing-masing berusia 40 dan 36 tahun itu telahpun bertindak keluar dari lori tersebut ke tempat yang selamat,” katanya.
Muhammad Rais berkata PKO bertindak membentang dua aliran hose reel, air dari tangki jentera untuk mengawal dan memadam kebakaran tersebut sehingga padam sepenuhnya.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan dan operasi terkawal pada jam 2 pagi dan pemadaman tamat sepenuhnya sekitar jam 2.20 pagi,” katanya.
Dalam pada itu, BBP Saratok telah diperkuatkan seramai lapan anggota yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Abdul Rahman Sabi.
Oleh ADI SAFARMAN