BAYERN Munich hanya memerlukan satu kemenangan lagi untuk mengesahkan kejuaraan Bundesliga buat kali kelapan berturut-turut.
Ia selepas gol kemenangan lewat permainan Leon Goretzka membantu kelab itu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Borussia Moenchengladbach di Allianz Arena semalam.
Penyerang muda, Joshua Zirkzee meletakkan Bayern di depan sebelum jaringan sendiri Benjamin Pavard menyaksikan kedudukan terikat 1-1 namun Goretzka menjaringkan gol ketiganya sepanjang lima perlawanan liga ketika perlawanan berbaki empat minit.
“Menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan yang membuka peluang luas untuk kami mengesahkan kejuaraan liga adalah sesuatu yang amat bermakna,” kata Goretzka.
Meskipun tanpa Robert Lewandowski dan Thomas Mueller yang digantung perlawanan, Bayern masih mampu melakar kemenangan kali ke-13 berturut-turut di semua pertandingan.
Kemenangan terbaharu itu sekali gus menyaksikan mereka selesa dengan kelebihan tujuh mata berbanding Borussia Dortmund di tangga teratas liga ketika berbaki tiga perlawanan lagi.
Kemenangan ke atas pasukan yang berisiko tersingkir, Werder Bremen pada Selasa ini akan mengesahkan kejuaraan liga untuk Bayern sekali gus yang ke-30 bagi kelab gergasi itu serta kali pertama untuk pengendali, Hansi Flick.
“Saya gembira pasukan melaksanakan tugas dengan cemerlang dan dibantu nasib yang agak baik di hujung perlawanan. Tiga mata yang kami perolehi kali ini sangat bermakna,” kata Flick.
Bayern dipaksa bekerja keras sekali lagi selepas turut melakar kemenangan 2-1 ke atas Eintracht Frankfurt pada aksi separuh akhir Liga Jerman, Rabu lalu.
Dortmund sebelum itu mengurangkan jurang kepada empat mata selepas tandukan minit akhir Erling Braut Haaland membantu mereka mencatat kemenangan dramatik 1-0 ke atas Fortuna Duesseldorf.
Sementara itu, Dries Mertens membantu Napoli menempah tiket ke final Piala Itali selepas menjaringkan gol yang menyaksikan kelabnya meraih kemenangan menerusi agregat 2-1 mengatasi Inter Milan di separuh akhir serta mengesahkannya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab.
Mertens menjaringkan gol ke-122 untuk kelabnya itu empat minit sebelum tamat babak pertama untuk menjadikan kedudukan terikat 1-1 sekali gus mengesahkan kemenangan Napoli selepas mencatat kemenangan 1-0 pada aksi pertama di San Siro, Februari lalu.
Christian Eriksen menjaringkan gol pertama untuk Inter pada minit ke-2 dan pasukan pelawat dilihat mendominasi perlawanan sepanjang separuh masa pertama sebelum Mertens menamatkannya menerusi satu serangan balas untuk membawa Napoli ke final bertemu Juventus, Rabu ini di Rome.
“Kami mahu melangkah ke final dan berjaya mencapainya. Kini kami perlu melakukan persediaan untuk aksi final dalam tempoh beberapa hari saja lagi,” kata Lorenzo Insigne yang menjadi arkitek gol kemenangan Mertens.
Mertens, 33, mengatasi rekod penjaring terbanyak kelab milik Marek Hamsik dan lebih tujuh jaringan berbanding legenda, Diego Maradona yang menjaringkan 115 gol disemua pertandingan dan memenangi dua kejuaraan Serie A dan Piala UEFA sepanjang tujuh musim bersama kelab itu.
Meskipun penonton tidak dibenarkan memasuki stadium di San Paolo, sekumpulan kecil penyokong Napoli yang berkumpul di luar stadium menghidupkan bunga api sebaik tamat babak pertama selepas Mertens menjaringkan gol.
Mertens berhijrah ke Napoli dari PSV Eindhoven pada 2013 dan dilihat selesa bersama kelab itu sehingga peminat menggelarkannya ‘Ciro’, gelaran yang cukup dihormati di negara itu.
Pengarah sukan kelab, Christian Giuntoli sebelum perlawanan berkata, kelab dan Mertens bersetuju untuk melanjutkan kontraknya yang dijangka berakhir pada hujung bulan ini.-AFP