KUCHING: Pembesaran Lapangan Terbang Miri dijangka menarik lebih banyak penerbangan dan meningkatkan keupayaan pengendalian penumpang, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Menurutnya, pelan pembesaran tersebut akan menambah dua lagi jambatan aero, menjadikan semuanya lima bagi membolehkan lapangan terbang berkenaan mengendalikan sehingga empat juta penumpang setiap tahun.
“Apabila projek pembesaran ini siap dalam tempoh tiga tahun, syarikat penerbangan akan meningkatkan jumlah penerbangan berdasarkan permintaan pasaran. Permintaan untuk destinasi seperti Mulu, khususnya, adalah tinggi dan syarikat penerbangan akan bertindak balas dengan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi Program Transformasi Bas Henti-Henti (SBST) Kuching antara kerajaan Persekutuan dan Biaramas Express Sdn Bhd di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Loke menekankan bahawa dasar langit terbuka Malaysia dalam ASEAN membenarkan penerbangan beroperasi bebas antara negara di rantau Asia Tenggara.
Katanya, hak trafik udara juga tidak akan menjadi isu kerana Malaysia mempunyai perjanjian perkhidmatan udara dengan banyak negara.
“Keputusan untuk menambah penerbangan bergantung kepada syarikat penerbangan. Sebaik sahaja kapasiti lapangan terbang meningkat dan slot penerbangan tersedia, mereka boleh memohon, dan kami akan membantu melancarkan proses tersebut,” tambahnya.
Pembesaran Lapangan Terbang Miri diumumkan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan projek itu pada 29 September lalu. Langkah ini diambil susulan peningkatan jumlah penumpang yang dicatatkan pada 2019, iaitu mengendalikan hampir 2.5 juta penumpang, melebihi kapasiti sedia ada.
Walaupun belum ada permintaan baharu dari syarikat penerbangan sejak pengumuman pembesaran itu, Scoot anak syarikat tambang rendah Singapore Airlines (SIA) baru-baru ini memulakan penerbangan antara Singapura dan Miri.
Loke juga menjangkakan syarikat penerbangan tambang rendah serta syarikat lain akan terus meneroka peluang untuk menghubungkan Miri dengan destinasi baharu.
Sementara itu, Loke turut menyentuh mengenai perkembangan rundingan pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak.
Katanya, rundingan tersebut masih berjalan dan kini melibatkan kerajaan Sarawak, Khazanah Nasional Bhd, dan Malaysia Aviation Group (MAG), tanpa penglibatan Kementerian Pengangkutan (MOT) kerana MASwings beroperasi di bawah MAG yang dimiliki oleh Khazanah.
“Perbincangan ini adalah isu komersial antara kerajaan Sarawak dan MAG. Tarikh akhir telah ditetapkan untuk menyelesaikan rundingan menjelang akhir tahun ini, namun jadual ini fleksibel bergantung kepada penyelesaian isu tertentu,” jelasnya.
Beliau turut mengumumkan bahawa Kabinet Persekutuan pada 8 Oktober lalu telah bersetuju untuk melanjutkan subsidi sementara bagi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sarawak dan Sabah, yang kini dikendalikan oleh MASwings, selama setahun lagi.
“Memandangkan rundingan pengambilalihan MASwings masih berjalan, kita akan terus menyediakan subsidi untuk RAS selama setahun lagi. Komitmen kerajaan adalah untuk meneruskan subsidi sebanyak RM209 juta setahun bagi RAS,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT