ENGKILILI: Seramai 76 penghuni Rumah Unsa, Sekandis, Lemanak kini berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan runtuhan tanah yang berlaku di bahagian dapur rumah panjang terbabit, hari ini.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata lima pintu rumah dari bilik bernombor 20 hingga 24 telah ditimpa tanah runtuh hingga menyebabkan kebanyakan dinding bahagian dapur roboh berikutan kejadian tanah susur dari bukit di belakang rumah panjang tersebut.
Beliau berkata antara faktor yang menyebabkan runtuhan tersebut adalah akibat hujan lebat sepanjang malam tadi sehingga ke hari ini.
“Kawasan terjejas kini masih berisiko akan runtuh kembali sekiranya hujan lebat masih berlaku disebabkan ada pergerakan tanah semasa pemantauan dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Rais berkata limpahan air turut berlaku di dalam rumah persendirian berhampiran rumah panjang terbabit yang dihuni seramai empat penghuni disebabkan air Sungai Kesit naik mengakibatkan sebuah rumah persendirian itu ditenggelami air.
“Kesemua penghuni rumah tersebut telah berpindah ke rumah keluarga di rumah panjang untuk sementara waktu sehingga banjir surut dan selamat untuk diduduki,” katanya.
Beliau menambah, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong membuat pemantauan dan pengumpulan maklumat di lokasi kejadian.
Muhammad Rais menasihati penghuni yang terjejas banjir dan tanah runtuh agar sentiasa mementingkan keselamatan diri, keluarga serta menasihati penghuni agar tidak mendekati kawasan yang berisiko.
Sementara itu, di lokasi berlainan di Rumah Alexandee Sekandis Baruh, Lemanak yang dihuni seramai 15 orang turut mengalami kejadian tanah runtuh dari bukit di hadapan rumah panjang sepanjang tiga pintu hingga mengakibatkan bahagian dinding hadapan atau ruai rumah panjang tersebut roboh.
“Kawasan yang terjejas masih berisiko akan runtuh semula disebabkan masih terdapat pergerakan tanah di lokasi kejadian dan juga ditambah faktor hujan lebat.
“Difahamkan, terdapat jalan kebun di sekitar kawasan berkenaan juga turut terjejas, terputus hubungan jalan disebabkan kejadian tanah runtuh itu,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN