KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mengumumkan permintaan untuk menamatkan projek Kawasan Hutan Baram Atas (UBFA) PD 902/19 rev.3 (F) dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek, hari ini.
Menurut satu kenyataan, keputusan ini diambil berikutan cabaran dan gangguan berterusan yang menjejaskan pelaksanaan projek terbabit.
“Projek UBFA yang dibiayai oleh Bandar Basel, Bruno Manser Fonds (BMF) dan Kerajaan Jepun melalui Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO), menghadapi campur tangan besar daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa, terutamanya BMF dan Save Rivers.
“Campur tangan ini menyebabkan hilangnya kepercayaan dan tersebarnya maklumat yang mengelirukan dalam kalangan masyarakat tempatan,” katanya.
Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata, sejak projek ini dimulakan pada September 2023, pihaknya berdepan dengan pelbagai gangguan yang menjejaskan kemajuan.
“Ini termasuk penghantaran surat rasmi kepada pegawai tinggi, demonstrasi di luar negara, serta penerbitan artikel-artikel yang memburukkan nama Sarawak dan ITTO tanpa merujuk kepada rakan kongsi projek,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan matlamat projek sejajar dengan pelan pembangunan dan pemuliharaan Sarawak seperti yang terkandung dalam dokumen projek yang diluluskan oleh Majlis Kayu Tropika Antarabangsa (ITTC).
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa perubahan dan perbezaan aspirasi sesetengah pihak berkepentingan, terutamanya NGO, telah menyebabkan cabaran yang tidak dapat diatasi.
“Oleh itu, melalui Jabatan Hutan, kerajaan Sarawak dengan berat hati meminta agar projek UBFA ditamatkan di bawah Artikel XI Seksyen 11.01 c perjanjian projek, kerana kelulusan dan pembiayaan yang berterusan tidak lagi memenuhi objektif projek.
“Keputusan ini diambil selepas pertimbangan yang teliti dan sejajar dengan objektif strategik Sarawak di bawah pelan Strategi Pembangunan Pasca-COVID 2030 (PCDS 2030).
“Kerajaan Sarawak kekal komited untuk menyokong masyarakat Baram Atas dan merancang untuk meneruskan projek ini dengan sumber pembiayaan yang berbeza,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal