MIRI: Perkhidmatan bas pintar percuma bandar raya Miri yang disediakan kerajaan negeri mampu meringankan beban golongan B40, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata, perkhidmatan bas pintar percuma itu diluluskan kerajaan negeri adalah ‘angpau’ yang dijanjikannya kepada masyarakat Miri semasa berucap pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina 2024.
“Tahniah kepada orang Miri kerana mempunyai sistem pengangkutan percuma dan bas Volvo ini dilengkapkan dengan banyak aplikasi di dalam bas itu sendiri.
“Saya janji akan membekalkan bas baharu untuk bandar Miri dan telah saya tunaikan.
“Dulu kita pernah melaksanakan dasar tambang RM1 dan penumpang boleh pergi ke mana sahaja dan sudah tentu ini mengurangkan beban B40.
“Hari ini kita menunaikan janji untuk membekalkan perkhidmatan bas pintar percuma untuk Miri dan kita akan berusaha menambah baik perkhidmatan pengangkutan di sini.
“Sambil itu, kita akan meneruskan usaha untuk membangunkan Miri sebagai bandar raya pintar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Perkhidmatan Bas Pintar Percuma Bandar Raya Miri di Terminal Bas Sentral Miri, di sini hari ini.
Abang Johari berkata beliau bersama rakan kabinet bekerja kuat untuk membangunkan ekonomi dan apabila kuat serta pendapatan bertambah, ia akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan.
“Bukan senang nak dapatkan bas percuma, sebenarnya ia dibayar oleh orang lain iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana kepimpinan dalam GPS mencari duit dan menambah pendapatan untuk dibalikkan semula kepada rakyat B40,” katanya.
Sebanyak 14 unit Bas Pintar Euro 3 Volvo City baharu yang telah mula beroperasi di bandar raya ini bermula 1 Oktober 2024.
Bas pintar ini dilengkapi dengan ciri mesra OKU seperti tanjakan jek atau tanjakan tingkat rendah, Sistem Pengesanan Global (GPS), kotak hitam dan dipasang dengan Teknologi Keutamaan Isyarat Bas (BSP).
Bas baharu ini akan menggantikan semua bas lama sedia ada, yang kebanyakannya telah berkhidmat selama lebih 25 tahun, menandakan peningkatan ketara dalam kualiti perkhidmatan.
Oleh Liong Chai Ling