KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) berkolaborasi dengan Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Belia dan Sukan membantu graduan menganggur untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian.
Menteri MEDAC, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya sudah berbincang bersama kedua-dua kementerian berkenaan untuk memberi latihan dan sebagainya kepada graduan tersebut agar mereka dapat membantu negara menghasilkan produk makanan melalui pertanian.
“Daripada mereka terus menganggur, adalah lebih baik sekiranya membantu negara menghasilkan bekalan makanan.
“Hal ini kerana, Malaysia banyak mengimport makanan dari luar negara,” katanya kepada media selepas menghadiri Taklimat Tempat Pemprosesan Kekal Tanaman dan Makanan Rampangi, semalam.
Tambahnya, pasaran ini terbuka luas dan ia dapat membantu sumber pendapatan lepasan graduan.
“Mereka (lepasan graduan) boleh meminjam sumber kewangan daripada kementerian saya seperti TEKUN dan Bank Rakyat.
“Bidang keusahawanan ini boleh menjadi alternatif menjadi pekerjaan mereka,” ujarnya.
Oleh Nur Ain Otsman