SELANGAU: Seorang lelaki warga emas maut setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Simpang Pasar Selangau, Jalan Mukah-Selangau di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu, 7.52 pagi.
Menurutnya, kemalangan melibatkan dua kenderaan, Perodua Myvi dan Toyota Hilux, yang bertembung.
“Toyota Hilux tersebut dalam perjalanan dari Sibu ke Bintulu, manakala Perodua Myvi sedang keluar dari Simpang Selangau.
“Anggota bomba bertindak pantas mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Myvi dengan menggunakan peralatan khas manakala mangsa di dalam Toyota Hilux pula hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa, Dian Igoh, 67, yang memandu sebuah Perodua Myvi, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.