KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk memperoleh pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk Sarawak Delta Geopark, menjelang 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan Sarawak kini sedang berusaha mendapat pengiktirafan ketiga UNESCO Global Geopark (UGGp) untuk Sarawak Delta Geopark itu selepas berjaya meraih pengiktirafan untuk Kompleks Gua Taman Negara Niah dan Taman Negara Mulu.
Katanya, ketika ini Sarawak sedang berkehendakan pakar dari UNESCO untuk menilai Sarawak Delta Geopark.
“Sekiranya kita berjaya melalui setiap proses, maka kemungkinan ia akan dibawa ke Lembaga Pengarah UNESCO, sama ada mereka akan mengambil Sarawak Delta Geopark sebagai UGGp.
“Proses ini sama dengan apa yang kita lalui apabila kita menyenaraikan Niah dan Mulu sebagai Tapak UNESCO.
“Ini (pengiktirafan) banyak bergantung kepada geologi, macam mana tempat ini terbentuk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Aspiring Sarawak Delta UNESCO Global Geopark, di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Untuk makluman, ketika ini Malaysia sudah mempunyai dua UGGp, iaitu Kinabalu UNESCO Global Geopark dan Langkawi UNESCO Global Geopark.
Dalam pada itu, Abang Johari juga menyatakan bahawa pihaknya akan mengambil Pulau Jeju UNESCO Global Geopark sebagai model untuk diikuti dalam usaha mendapatkan pengiktirafan tersebut.
“Pulau Jeju mempunyai khazanah dari sudut geologi, jadi, kita ambil Jeju sebagai model dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, bersama rombongannya ada ke Pulau Jeju sebagai usaha bagi memastikan Sarawak Delta Geopark memenuhi syarat-syarat untuk diisytiharkan sebagai UGGp, “katanya.
Sehubungan itu, Abang Johari juga menyatakan bahawa pengiktirafan ini akan memberi pelbagai faedah untuk Sarawak.
“Salah satunya (faedah) adalah pendidikan dan ini adalah cara kita untuk menyelamatkan alam sekitar.
“Ini kerana dalam geopark ini bukan hanya sekadar hal geologi atau tanah sahaja, malah, semut juga bergantung kepada tanah kerana ini habitatnya, jadi kita boleh mempertahankan habitat juga.
“Geopark, geodiversiti dan biodiversiti ini bergantung antara satu sama lain,” katanya.
Sarawak Delta Geopark (SDGp), sebuah projek tapak warisan geologi berkeluasan 311,246 hektar di selatan negeri Sarawak. Terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Kuching, taman ini merangkumi rangkaian saluran air laut dan anak sungai yang luas, terbentuk oleh sungai Sungei Sibu-Laut, Batang Salak dan Sungei Santubong yang saling bersambung, membentuk sempadan taman.
Pelawat yang mengunjungi Geopark ini akan dapat melihat formasi rupa bumi yang didasari oleh pelbagai jenis unit yang berusia, daripada karbon hingga resen; kepelbagaian biodiversiti dengan spesies endemik di Borneo seperti orang utan, orang Belanda (Proboscis Monkey) dan cicak batu fairy dan kekayaan warisan budaya daripada seni bina, peralatan muzik, senjata sehingga kepada makanan yang terhasil daripada kewujudan masyarakat berbilang kaum.
Oleh SHAHRUL QAIZAT