KUCHING: Penyanyi dan penulis lirik terkenal, Atilia Haron menghargai sambutan luar biasa yang diberikan terhadap muzik jaz di Sarawak, khususnya sempena penganjuran Kuching Jazz 2024.
Atilia, yang terkenal menerusi lagu ‘Bahagiaku’, mengakui bahawa sokongan positif terhadap genre tersebut telah memberi semangat kepada mereka untuk tampil dengan persembahan terbaik malam ini.
Katanya, kumpulannya akan mempersembahkan sembilan lagu sepanjang festival tersebut, dan menganggapnya sebagai peluang berharga untuk mempromosikan karya mereka di pentas yang lebih besar.
“Kedatangan kami di Kuching kali ini amat dihargai, terutama kerana ia merupakan kali kedua kami mengunjungi bandar ini sejak sebelum pandemik Covid-19.
“Kami amat teruja untuk membuat persembahan di festival ini dan berjanji untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena hari kedua Kuching Jazz 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Ketua Pegawai Eksekutif Hemisphere Corporation Sdn Bhd, Mark Ferguson dan Pengarah Jualan, Pemasaran dan Acara Kampung Budaya Sarawak (SCV), Zaini Zainuddin.
Hari kedua festival pada malam ini bakal menyaksikan empat artis jaz yang lain, termasuk Rizky Febian, Aruel & The Fasola, Sang Timur, Improviser dan Fazz.
Oleh Mohd Neenatul Aizal