KUCHING: Lebih 1,000 pengunjung memeriahkan Festival Kuching Jazz yang berlangsung di Tebingan Kuching Grand Magherita di sini, semalam.
Acara bermula pada 8.00 malam itu menyaksikan persembahan bertenaga daripada pelbagai artis dan kugiran terkenal dari seluruh Asia Tenggara sekali gus menghiburkan para pengunjung yang hadir.
Kugiran terkenal dari Indonesia, Payung Teduh, mencuri tumpuan dengan persembahan memukau melalui lagu-lagu popular mereka seperti Akad, Untuk Perempuan Yang Sedang Dalam Pelukan dan banyak lagi.
Artis terkenal Malaysia, Zee Avi & The Good Things turut menghiburkan pengunjung dengan vokal uniknya, yang menggabungkan elemen jaz, folk dan pop dalam persembahannya.
Selain itu, kumpulan muzik jaz dari Thailand, Mellow Motif yang terkenal dengan gaya muzik mereka yang halus dan menenangkan, sekali gus memeriahkan festival ini.
Sementara itu, kumpulan Suhu dari Negeri Sembilan dan Swaiv dari Sarawak masing-masing menyajikan muzik yang menggabungkan elemen tradisional dan moden.
Turut hadir bagi menyaksikan festival ini ialah Konsul Jeneral Republik Indonesia, Raden Sigit Witjaksono serta isteri, Lucy Octavia dan Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman.
Festival ini akan mencapai acara kemuncak pada malam ini apabila artis terkemuka Indonesia, Rizky Febian, menjadi tumpuan dengan lagu-lagu hitnya seperti ‘Hingga Tua Bersama’, ‘Kesempurnaan Cinta’, dan banyak lagi.
Turut berkongsi pentas malam ini bersama Rizky Febian ialah Improviser, Fazz, Sang Timur Band, Aruel & The Fasola dan Atilia Haron.
Oleh Mohd Neenatul Aizal