SEBELUM Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, komposisi Ahli Parlimen di Semenanjung Malaysia kurang daripada dua pertiga.
Bila Singapura sudah tiada, kesemua 15 kerusi Parlimen Singapura ketika itu diserahkan kepada Persekutuan Tanah Melayu tanpa dibahagi kepada Sabah dan Sarawak.
Mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termaktub bahawa Sarawak dan Sabah, harus memiliki satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.
Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 iaitu mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen ketika itu, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu.
Tanah Melayu atau kini Semenanjung Malaysia tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu. Namun, apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu, seperti dijanjikan dalam MA63.
Sejak itu, apabila proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan di seluruh negara setiap lat lapan tahun, Sabah dan Sarawak kekal di bawah paras 35 peratus di sebalik jumlah kerusi Parlimen semakin bertambah. Tiada siapa peduli apa yang dijanjikan melalui MA63.
Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi atau 25 peratus adalah di Borneo iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.
Untuk memenuhi 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, Sarawak dan Sabah perlu tambahan 21 kerusi lagi, menjadikan jumlahnya 77 kerusi Parlimen iaitu menepati 35 peratus.
Isu ini kerap disuarakan oleh pemimpin Sarawak dan Sabah, tetapi belum menampakkan sinar yang konkrit, dan secara tuntas bagi memenuhi tuntutan MA63.
Terbaharu, perkara ini disuarakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kapit Ahad lalu dengan menggesa Kerajaan Persekutuan mengembalikan 35 peratus atau satu pertiga daripada jumlah kerusi Parlimen, kepada Sarawak dan Sabah, untuk mengelak Parlimen meminda Perlembagaan Persekutuan yang akan menjejaskan kepentingan Sarawak dan juga Sabah.
Katanya, kepentingan serta hak Sarawak dan Sabah tidak akan terjamin berikutan gabungan kerusi mereka di Parlimen adalah kurang daripada satu pertiga.
Antara kebimbangan Sarawak dan Sabah ialah Parlimen mungkin akan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memansuhkan MA63.
PERLINDUNGAN
“Justeru, dengan ada satu pertiga daripada jumlah kerusi itu, kita dapat memastikan MA63 kekal terpelihara. Dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold, perkataan disebut ialah ‘safeguard’ (perlindungan),” katanya pada majlis bersama masyarakat tempatan yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Suarah Kapit.
Anwar ketika berucap pada majlis sama menegaskan komitmennya untuk menunaikan janji yang dibuat oleh pemimpin terdahulu walaupun menghadapi kritikan dan cabaran ketika menyentuh mengenai MA63.
“Kita mesti menunaikan janji kita, sebahagian daripadanya adalah janji kita sendiri dan sebahagian lagi adalah janji bapa kita. Kita mesti melaksanakannya dengan integriti supaya mereka dapat beristirahat dengan aman, mengetahui bahawa keputusan mereka adalah bijak dan wajar.
“Saya tidak mengambil pendirian defensif dalam mempertahankan MA63. Itulah sebabnya dari awal jawatan saya sebagai Perdana Menteri, walaupun ada kritikan di Parlimen daripada pihak pembangkang, saya tidak takut kehilangan sokongan atau menghadapi ancaman,” jelas Anwar dalam ucapannya seperti dilaporkan media.
Di Kota Kinabalu kelmarin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut menyuarakan isu sama dan menyatakan bahawa pihaknya sudah melakukan perbincangan bersama kerajaan Sarawak bagi meminta Kerajaan Persekutuan mengembalikan kuota satu pertiga kerusi Parlimen kepada dua negeri ini.
“Kita sudah bincang dengan kerajaan negeri Sarawak sebanyak dua kali untuk kita meminta sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen kerana ini adalah termaktub dalam MA63 apabila kita menubuhkan negara Malaysia. Jadi, kita telah pun menyatakan hasrat dan kemahuan kita ini kepada Perdana Menteri dalam mesyuarat MA63 pada 12 September yang lepas,” katanya seperti dilaporkan media.
Bagaimanapun, soal penambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah urusan SPR tetapi jika Kerajaan Persekutuan bersetuju mengembalikan 35 peratus atau tambahan 21 kerusi Parlimen untuk Sarawak, Sabah, maka SPR perlu melakukannya.
UBAH SISTEM ‘ONE MAN ONE VOTE’
Ini dilaksanakan melalui proses persempadanan semula bahagian pilihan raya.
Proses kajian persempadanan semula SPR di Sarawak sepatutnya bermula tahun lepas kerana sudah melepasi lat lapan tahun, setelah kali terakhir pada 2015.
Di Sabah pula pada 2025 setelah kali terakhir pada 2017, manakala di Semenanjung Malaysia pada 2026, kali terakhir pada 2018.
Bagaimanapun, apabila melakukan proses persempadanan semula bahagian pilihan raya ini, SPR perlu mengubah sistem diguna pakai, berbanding kaedah yang digunakan sejak merdeka.
Dalam kolum ini yang disiarkan pada 4 Januari 2024, penulis pernah membangkitkan isu ini dengan tajuk ‘Persempadanan: SPR perlu hormati MA63’.
Isu ini berkaitan persoalan bagaimana kaedah diguna pakai SPR untuk kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya di negeri ini nanti.
Apakah masih menggunakan kaedah lazim iaitu ‘one man one vote’ (seorang satu undi) iaitu dinilai berdasarkan jumlah pengundi atau keluasan kawasan.
Kaedah ‘one man, one vote’, bermaksud kerusi yang mungkin dipecah untuk diberi tambahan kerusi Parlimen dan DUN ialah di kawasan bandar seperti di bandar raya Kuching, Stampin, Miri, Bintulu, Sibu, dan Lanang, kerana populasi banyak dan bukan seperti di Baram, Ulu Rajang atau Kapit yang mempunyai kawasan yang begitu luas tetapi populasi sedikit.
Isu ini pernah diulas oleh Premier Sarawak, sebelum ini dengan menyatakan bahawa penggunaan kaedah ‘one man, one vote’, akan menyebabkan kawasan luar bandar dan pedalaman tidak akan menyaksikan pertambahan kerusi Parlimen atau DUN kerana populasi rendah.
“Memang ada dua (kaedah), dan kita berdasarkan sistem Westminster, dan semua negara Komanwel mengikut demokrasi ala Westminster. Sekiranya, kaedah ‘one man, one vote’ ini diguna pakai, maka kawasan pedalaman yang mempunyai populasi yang rendah tidak akan ada wakil rakyat,” katanya.
Setakat ini, SPR masih ‘senyap’ sama ada mengubah kaedah persempadanan semula itu atau kekal dengan kaedah lazim ‘one man one vote’ yang bakal menyaksikan kerusi ‘padat populasi’ kawasan bandar sahaja ditambah kerusi, manakala kawasan luar bandar dan pedalaman kekal statik.
SPR perlu melihat dari segi keperluan dan masalah perhubungan. Misalnya saiz kerusi Parlimen Baram adalah sebesar negeri Pahang dan perlu dipecah jadi dua atau tiga kerusi Parlimen bagi memudahkan pentadbiran, komunikasi dan tumpuan wakil rakyat.
Contohnya, seorang calon tidak mungkin dapat menjelajah ke semua kawasan di ceruk pedalaman dalam tempoh 10 atau 14 hari berkempen meskipun menggunakan helikopter.
Apabila menjadi wakil rakyat, kos pengangkutan yang ditanggung begitu besar, yang sepatutnya boleh diperuntukkan untuk projek kecil luar bandar.
Ingat ungkapan keramat Tun Jugah Barieng iaitu ‘Anang Malaysia baka tebu, manis dipun tabar di hujung’.
Kita tidak mahu ada ‘masam-masam manis’ seperti tajuk filem komedi Melayu arahan/lakonan Seniman Agung, P Ramlee.
Kain cindai pengikat cinta,
Dipakai dara berlipat-lipatan;
Harap tuan mencapai cita,
Tidak terburai di tengah jalan.
(MSO)
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.