SIBU: Semangat lebih 12,000 penonton pelbagai lapisan masyarakat menggegarkan Konsert Sibu Jaya yang berlangsung di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim, baru-baru ini.
Acara tersebut bukan hanya menarik kehadiran ramai, malah berfungsi sebagai platform untuk memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan penduduk setempat.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amcorp, Tan Sri Azman Hashim, dalam ucapannya ketika merasmikan konsert itu, menekankan acara seperti ini penting dalam mengukuhkan hubungan masyarakat.
“Acara ini, cerminan kepada semangat ‘Segulai Sejalai’ seperti yang disarankan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari, tahun lalu.
“Kita semua boleh hidup bersama sebagai satu keluarga di bawah satu bumbung,” ujar Azman, merujuk kepada konsep perpaduan yang dikongsi oleh Sibu Jaya.
Menyentuh mengenai perkembangan ekonomi Sibu Jaya, Azman turut menyatakan bahawa pertumbuhan pembangunan komersial dan perumahan di bandar itu adalah bukti kemajuannya.
“Penduduk kini memiliki lebih banyak peluang pekerjaan dan akses kepada pembangunan yang pesat.
“Pertumbuhan komuniti, keamanan dan kemakmuran bersama harus menjadi model untuk seluruh Malaysia,” katanya, sambil menggesa masyarakat untuk kekal bersatu dalam merealisasikan keharmonian yang terkenal di Sarawak.
Beliau juga merakamkan penghargaan terhadap sokongan masyarakat setempat dan kerjasama pelbagai pihak dalam menganjurkan acara besar seperti pesta air, motocross dan karnival, yang telah menarik ramai pengunjung serta memperkukuhkan perpaduan tempatan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang telah merasmikan Pesta Air Sibu Jaya selama tiga tahun berturut-turut.
“Kami juga berterima kasih kepada Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) serta guru-guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sibu Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Sibu Jaya dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Thian Hua atas sumbangan mereka,” ujarnya.
Beliau turut menghargai kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kementerian Kesihatan, Sarawak Energy Berhad dan Lembaga Air Sibu (LAS) dalam memastikan keselamatan serta kelancaran pelaksanaan acara di Sibu Jaya.
Hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting, Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Md Nor Md Yusof dan isteri Puan Sri Shahrulbariah Mohd Nawawi serta pemimpin masyarakat setempat Pemanca Datuk Jason Tai.
Oleh Tarani Lanting