SERIAN: Seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala dua lagi mangsa cedera dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Pan Borneo, laluan Serian-Balai Ringin di sini pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10:33 pagi dan terus menggerakkan Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi kejadian.
Katanya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Pesona yang terlibat dalam insiden kendiri.
“Dua mangsa yang cedera, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan, berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
“Namun, seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tempat duduk belakang terperangkap dalam kenderaan tersebut. Pasukan bomba menggunakan alat ‘crowbar’ untuk mengumpil pintu kereta dan mengeluarkan mangsa.
“Malangnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Operasi menyelamat berakhir pada jam 11:55 pagi. Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden ini,”katanya.