MIRI: Kestabilan politik yang dikecapi sejak dua tahun lepas di negara tidak harus disalah guna oleh pemimpin politik bagi mengukuhkan kedudukan sebaliknya perlu dimanfaat sebagai ruang untuk melaksanakan dasar yang baik untuk rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kestabilan yang membawa kepada pengukuhan nilai mata wang ringgit, pengangguran berkurangan dan inflasi lebih terkawal telah membolehkan kerajaan semasa menumpukan usaha membangunkan rakyat.
“Kadangkala masih ada orang politik yang sudah agak terdesak, yang agak lemas, dia tengok ekonomi berkembang, ringgit kian kukuh, tahap pengangguran berkurangan, peluang pekerjaan meningkat dan inflasi lebih terkawal maka jalan keluar untuk mereka adalah menghasut supaya timbul kebencian antara kaum serta kegelisahan kerana perbedaan faham agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Anwar berkata mengurus negara berbilang kaum, agama, suku-suku kaum dan wilayah, tidak mudah.
“Negara ini harus dipastikan kekal aman. Tetapi rakyat harus pilih. Mahu jadikan ini satu kesatuan yang boleh membangkit ekonomi dan membela nasib rakyat atau menimbulkan politik pecah belah, adu domba dan huru hara.
“Banyak pengalaman negara-negara hari ini, saban hari dalam media tidak selesai kerana percaturan politik berlebihan yang kita anggap terlanjur daripada pokok tunggak untuk menyatukan rakyat dan membela nasib mereka.
“Sebab itu kita bersyukur dan saya sudah sebut tahun lalu di Kuching. Kadangkala rakan-rakan saya di Semenanjung harus juga belajar pengalaman rakan-rakan Sabah Sarawak.
“Orang Islam boleh menghayati Islam, mengimarahkan masjid untuk tempat beribadah, menyatukan semangat, menanam kesedaran, menimba ilmu. Tapi tidak menghalang sama sekali, malah dianjurkan supaya ada hubungan yang baik dengan rakan-rakan yang lain.
“Syukur Alhamdulillah kerana majoriti rakyat masih memilih jalan yang lebih baik. Kerana dengan jalan itu baru boleh kita capai ‘Segulai Sejalai’, perpaduan di kalangan masyarakat,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling