SARIKEI: Dua rumah panjang di sini telah berjaya mendapatkan Skim Pinjaman Rumah Panjang dari Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, beliau berjaya mendapatkan kelulusan skim tersebut untuk membantu Rumah Lingga Ujang dan Rumah Jessica Patrick.
“Rumah Lingga Ujang di Sungai Selangan mempunyai sebanyak 74 pintu dan merupakan rumah panjang terpanjang di Sarikei.
“Mereka telah menerima pinjaman berjumlah keseluruhan RM2,220,000.
“Setiap pintu telah diperuntukkan pinjaman sebanyak RM30,000,” katanya.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian kepada media selepas menjalankan tinjauan ke Rumah Lingga Ujang dan Jessica Patrick, baru-baru ini.
Tambahnya, untuk Rumah Jessica Patrick sepanjang 15 pintu, mereka telah menerima pinjaman keseluruhan sebanyak RM750,000, di mana setiap pintu diperuntukkan pinjaman sebanyak RM50,000.
Dalam pada itu, katanya, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memperuntukkan banyak dana untuk pembangunan infrastruktur asas.
“Tujuannya adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan menjaga kepentingan rakyat Sarawak dengan lebih baik.
“Terima kasih Premier Sarawak dan kerajaan GPS kerana sentiasa mengutamakan rakyat Sarawak,” katanya.
Oleh Earl Anek