KUCHING: Kerajaan Sarawak memuktamadkan perjanjian pembelian saham (SPA) Affin Bank Bhd sekali gus menjadi pemegang saham terbesar institusi kewangan itu dengan pegangan sebanyak 31.25 peratus.
Sebelum pengambilalihan ini, kerajaan Sarawak memegang 4.81 peratus kepentingan dalam Affin Bank.
Dengan muktamadnya SPA itu, pegangan kerajaan Sarawak meningkat kepada 31.25 peratus, yang mewakili satu langkah besar ke hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keputusan Sarawak melabur dalam Affin Bank didorong oleh keperluan untuk mengambil langkah strategik bagi mewujudkan platform kewangan dan sinergi dengan bank yang kukuh dan berwibawa.
Selain itu, katanya, Affin Bank memainkan peranan penting dalam menyokong sektor perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak.
“Pengambilalihan Affin Bank akan membolehkan usahawan PKS mendapat pembiayaan kewangan sekali gus merancakkan ekonomi Sarawak.
“Dengan sokongan AFFIN, PKS boleh mengembangkan operasi, berinovasi dan mencipta peluang pekerjaan untuk kakitangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian jual beli saham oleh kerajaan Sarawak dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di salah sebuah hotel, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata industri perbankan telah menjadi bahagian penting dalam pembinaan negara, tidak terkecuali untuk Sarawak.
“Sejarah kita dalam industri perbankan bermula sebelum era sebelum merdeka dan pada waktu itu kita mempunyai infrastruktur kewangan yang terhad dan bergantung kepada bank asing untuk memenuhi keperluan ekonomi.
“Pada akhir 1990-an, selepas krisis kewangan Asia 1997, Kerajaan Persekutuan telah memulakan siri pembaharuan dan penggabungan perbankan untuk mengukuh dan meningkatkan kecekapan serta kestabilan industri perbankan negara.
“Pembaharuan ini membawa kepada penggabungan dan pengambilalihan serta pemusatan perkhidmatan perbankan di mana kita menyaksikan penggabungan banyak bank tempatan Sarawak dengan bank yang lebih besar, selalunya dari Semenanjung Malaysia.
“Ini malangnya telah menyebabkan kehilangan bank dan institusi kewangan tempatan Sarawak,” katanya.
Justeru, dengan termeterainya SPA tersebut, ia menjadi satu langkah ke hadapan bagi Sarawak untuk kembali dominan dalam perbankan perdagangan negara.
Oleh RYNNA SHA’ERRA