BETONG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong dan APM Daerah Saratok telah menerima sumbangan sebanyak 10 unit topi keledar dan 20 unit jaket keselamatan daripada Kelab PURPAS dekat sini, semalam.
Sumbangan itu telah pun disampaikan oleh pengerusi kelabnya, Leftenan (PA) Jordan Lau Teck Kyu kepada Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Betong, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim dan PPAD Saratok, Leftenan (PA) Nur Athirah Batu.
Lau memberitahu, sumbangan berkenaan bertujuan menambah baik peralatan operasi yang terdapat Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Betong dan PKOD Saratok pada masa sekarang.
“Topi keledar dan jaket keselamatan ini akan dapat digunakan oleh petugas APM dari dua agensi penyelamat tersebut ketika mengendalikan kes kecemasan seperti bencana alam, kemalangan dan sebagainya di kawasan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, pemberian sumbangan berupa topi keledar dan helmet tersebut kata Siti adalah tepat pada masanya memandangkan cuaca negara kini sedang beralih dari Monsun Barat Daya (MBD) ke Monsun Timur Laut (MTL).
Peralihan cuaca ke MTL ini kata beliau secara tidak langsung menyebabkan berlaku hujan lebat berterusan yang boleh mengakibatkan berlaku bencana seperti banjir dan tanah runtuh di seluruh negara termasuk Daerah Betong.
“Justeru, pemberian dua peralatan ini sekali gus akan dapat mempertingkatkan tahap keselamatan petugas APM Betong dan Saratok ketika mengendalikan kes kecemasan di kawasan masing-masing,” katanya.
Siti juga turut menasihat penduduk di kawasan Betong dan Saratok agar bertindak menghubungi APM di talian 083472861 jika berlaku kes kecemasan di kawasan mereka bagi tujuan tindakan lanjut.
Oleh Valentine Ngumbang