KUCHING: Kontinjen badminton tuan rumah hadiahkan tiga emas, untuk kem Sarawak dalam kategori regu campuran (SL3-SU5), perseorangan wanita (SH6) dan lelaki (WH2).
Regu campuran tuan rumah, Gregory Kanyan dan Nursyazwani Shahrom menundukkan regu Perak Megat Qayyum Megat Yunus dan Siti Maisarah Mat Lawani dengan mudah 21-7, 21-8 dalam perlawanan penentuan pingat emas yang berlangsung di Dewan Persatuan Badminton Sarawak di sini, hari ini.
Selepas itu, Ashley Irenaeus Jack pula mengesahkan emas miliknya selepas menundukkan lawan daripada Selangor Rahim Mohd Yusof manakala emas perseorangan wanita tuan rumah dihafiahkan oleh Nurzammiezatul Syafiqqah Mohd Zamberi selepas mengalahkan lawannya dari Sabah, Gladys Grace Didin.
Skuad badminton Sarawak turut meraih satu perak dan empat gangsa.
Perak diraih oleh Nursyazwani Shahrom dalam acara perseorangan wanita kategori SL4.
Gangsa pula dimenangi oleh dua regu campuran Sarawak, Ardiles Benson dan Nurzammiezatul Syafiqqah Mohd Zamberi dan Mohd Aqil Haziq Nong Chee bersama regunya Chan Lee Ching.
Dua lagi gangsa diraih melalui acara perseorangan wanita, Chan Lee Cing dan regu lelaki Gregory Kanyan dan Nik Ariffen Putit.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Chief De Mission Kontinjen Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam menyatakan rasa puas hatinya dengan prestasi skuad badminton yang mencapai sasaran tiga emas.
Katanya, beliau percaya bahawa skuad badminton Sarawak boleh meraih lebih dari tiga emas.
Bagaimanapun, kecederaan yang dialami oleh pemain Sarawak menidakkan hasrat tersebut.
“Alhamdulillah, skuad badminton telah memenuhi sasarannya sebanyak tiga emas, sebenarnya kita boleh capai lebih, namun sayangnya ada kecederaan yang dialami oleh pemain Sarawak.
“Saya sangat berbangga dengan pencapaian dan semangat yang ditunjukkan oleh para pemain ini walaupun mereka ada yang cedera,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat