BEIJING: Banjir dan tanah runtuh di selatan China mengakibatkan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal selain puluhan meninggal dunia atau hilang.
Cuaca buruk itu membawa malang berganda ke destinasi pelancongan popular yang sememangnya terjejas teruk berikutan sekatan perjalanan sejak beberapa bulan lalu akibat pandemik Covid-19.
Agensi berita rasmi Xinhua, yang memetik kenyataan Kementerian Pengurusan Kecemasan melaporkan hujan lebat itu mengakibatkan banjir dan tanah runtuh, yang memaksa hampir 230,000 orang dipindahkan dan lebih 1,300 rumah musnah.
Di wilayah autonomi Guangxi Zhuang di selatan, enam orang dilaporkan meninggal dunia dan seorang lagi hilang.
Semua jalan menuju ke destinasi pelancongan terkenal Yangshuo dinaiki air, sekali gus memaksa penduduk dan pengunjung untuk berpindah menggunakan rakit buluh.
Sementara itu, kerajaan tempatan berkata lebih 1,000 hotel dilanda banjir dan lebih 30 lokasi pelancongan musnah.
Seorang pemilik hotel yang mengendalikan perniagaan keluarga berkata bilik hotelnya ditenggelami banjir sedalam satu meter.
Cuaca buruk melampau itu memberi tamparan hebat kepada sektor pelancongan di rantau terbabit yang masih terjejas akibat wabak Covid-19.
Kementerian Pengurusan Kecemasan berkata kerugian dianggarkan melebihi 4 bilion yuan (RM2.3 bilion) akibat bencana terbabit.
Di wilayah Hunan, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh akibat hujan lebat dan lapan orang lagi hilang atau terbunuh di wilayah barat daya Guizhou, menurut jabatan tindak balas kecemasan tempatannya.
Hujan lebat yang dilaporkan sejak pada awal bulan ini mengakibatkan paras air yang sangat tinggi di 110 sungai.
Hujan ribut dijangka lebih banyak berlaku dalam beberapa hari lagi di selatan negara itu. – AFP