KUALA LUMPUR: Bagi mempelajari pengurusan dan pengoperasian kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya di Sarawak, seramai 14 pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Seremban dan Perak.
Menurut kenyataan Cawangan Lebuhraya Pan Borneo, lawatan itu yang diketuai Timbalan Pengarah (Infrastruktur) JKR Sarawak, Wisil Lichok, bermula Selasa lalu hingga hari ini, 26 September 2024.
Mereka turut diberi taklimat oleh Ketua Penolong Pengarah Pemantauan Operasi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Dr. Rohayah Abdullah.
Dalam sesi taklimat itu, pihak LLM bersama pihak PLUS Malaysia Berhad berkongsi dan bertukar-tukar maklumat bersama rombongan JKR Sarawak dalam pelbagai aspek pengurusan sesebuah kawasan R&R.
Selesai taklimat di LLM, rombongan kemudiannya dibawa melawat ke R&R Seremban Arah Selatan yang juga diiktiraf sebagai R&R Lestari pertama di Malaysia sebelum ke Lebuhraya Utara Selatan; hentian Desa Serdang (Arah Kuala Lumpur) Lebuhraya Sungai Besi BESRAYA; R&R Elmina (Arah Selatan) dan R&R Tapah (Arah Utara) Perak.
Pihak JKR Sarawak ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak LLM; Plus Malaysia Sdn Bhd; Besraya dan semua pihak yang telah menerima kunjungan lawatan itu.
Kredit foto Cawangan Lebuhraya Pan Borneo