SIBU: Feri yang tidak mampu menampung muatan berat treler menyebabkan rantai tanjakan terputus, sekali gus jadi punca menyebabkan kenderaan itu terjatuh ke dalam sungai di Pangkalan Feri Kampung Sawai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Daro, DSP Rahim Minios berkata pemandu treler berusia 51 tahun bernasib baik kerana berjaya keluar dari kenderaan berat itu untuk menyelamatkan diri.
Bagaimanapun katanya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bintangor kerana lokasi kejadian berlaku di bawah pentadbiran Daerah Bintangor.
Berdasarkan video kejadian yang tular di media sosial semalam, treler dan muatan jentera berat didapati tenggelam ke dasar sungai.
Namun, berpantang ajal sebelum maut, pemandu lori treler berdepan detik cemas apabila lori dipandunya yang membawa muatan jentera berat terjatuh ke dalam sungai di Pangkalan Feri Kampung Sawai itu.
Berdasarkan video dimuat naik di media sosial yang kini tular, menunjukkan kejadian berlaku apabila treler terbabit gagal dikawal ketika cuba memasuki ruang feri sebelum terjunam ke dalam sungai.
Pemandu treler dilaporkan selamat setelah berjaya menyelamatkan diri apabila sempat keluar dari dalam treler sebelum berenang ke tebing.
Oleh AKUN GIMAN