WASHINGTON: Seorang lelaki California terkejut apabila mendapati dia tersilap membayar bil elektrik jirannya selama 18 tahun tanpa disedari.
United Press International (UPI) melaporkan Ken Wilson, tinggal di apartmen yang sama dengan ‘jiran bertuahnya’ itu sejak 2006.
Wilson berkata dia baru-baru ini menyedari bil utiliti seliaan Pacific Gas and Electric (PG&E) menunjukkan peningkatan.
Dia kemudian cuba mengambil langkah mengurangkan penggunaan tenaga di kediamannya namun masih gagal menurunkan jumlah bil.
Bimbang kemungkinan terdapat kerosakan, dia menghubungi PG&E untuk memeriksa kediamannya.
“Saya fikir ada kebocoran atau seseorang mencuri elektrik atau meter rosak kerana ada sesuatu yang tidak betul,” katanya kepada CBS Sacramento.
Seorang pekerja syarikat utiliti yang memeriksa meter Wilson mendapati syarikat PG&E sebenarnya mengenakan bayaran untuk unit kediaman bersebelahan, bukannya unit apartmennya sendiri.
Wilson berkata percampuran jumlah bil itu mungkin berlaku sepanjang 18 tahun dia tinggal di apartmen itu.
“Kami mengakui kesilapan berlaku dalam hal ini, dan kami komited sepenuhnya untuk membetulkan keadaan dengan pelanggan dan menjadikan pelanggan berpuas hati keseluruhannya,” kata PG&E dalam reaksinya menerusi satu kenyataan berhubung kesilapan itu. – Ber-UPI