KUCHING: Komuniti ahli farmasi disaran untuk terlibat secara klinikal dalam penjagaan farmaseutikal pesakit untuk meningkatkan hasil rawatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata peranan ahli farmasi telah berkembang daripada sentrik produk kepada sentrik pesakit.
”Komuniti ahli farmasi perlu dilengkapi dengan pengetahuan Data Raya dan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai persediaan analisis dan rawatan pesakit pada masa hadapan.
”Ia merupakan ’senjata’ penting yang diperlukan bagi menentukan pelan rawatan yang bersesuaian serta menganalisis DNA seseorang.
”Sememangnya, terdapat begitu banyak peranan yang boleh dimainkan oleh seorang ahli farmasi pada zaman ini dan apa yang saya sentuh hanya sebahagian daripadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Datuk Bandar Majlis bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng ketika majlis perasmian Jurnal Polisi Dan Amalan Farmaseutikal-Persidangan Farmasi Antarabangsa Borneo (1st Journal of Pharmaceutical Policy and Practice-Borneo International Pharmaceutical) (JOPP-BIPC) 2024 di sini, hari ini.
Katanya lagi mengubah cara kerja juga penting sebagai langkah persediaan kepada dunia yang semakin maju.
Ujarnya lagi, ahli farmasi perlu bekerjasama dengan lebih rapat dan berkesan dalam dan luar komuniti farmasi untuk menyediakan penjagaan yang berpusatkan pesakit dan holistik.
”Saya menggesa anda semua untuk memainkan peranan aktif dalam menyelaraskan amalan anda, khususnya ke arah meningkatkan kualiti, kebolehcapaian dan kemampuan penjagaan kesihatan untuk memenuhi keperluan komuniti anda yang semakin meningkat,” tambahnya.
Menurutnya, acara anjuran bersama Journal of Pharmaceutical Policy & Practice dan Sarawak Health Pharmacy Allied Association (SHPAA) dengan sokongan penuh Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Persatuan Farmaseutikal Sarawak (SPS) itu bertujuan untuk ahli farmasi berkumpul dan berkongsi pengetahuan, pengalaman dan amalan dalam bidang farmasi.