KUCHING: Perkampungan sukan dan penginapan pada temasya Sukan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 lengkap dengan kemudahan yang mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 19 hotel telah dipilih menjadi penginapan kepada 15 kontinjen mampu memberi keselesaan kepada atlet.
Katanya, kemudahan di hotel tersebut memenuhi keperluan yang sesuai untuk atlet dengan pelbagai jenis kecacatan.
“Ini cabaran besar bagi kita sebagai tuan rumah untuk memastikan venue pertandingan diadakan malah tempat penginapan juga mesti mesra OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Perkampungan Sukan Para Sukma XXI Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fatimah menjelaskan bahawa senarai hotel yang menjadi pusat penginapan kesemua 1,275 orang atlet ialah Hock Lee Hotel & Residences, Harbour View, 56 Hotel, Merdeka Palace Hotel, Raia Hotel, UCSI Hotel, Serapi Verdure Hotel, Regatta Suites, Citadines Uplands, Grand Continental Hotel, Imperial Hotel, Riverside Majestic & Astana Wings, Kuching Park Hotel, Roxy Hotel Batu 3, Kingwood, Penview Hotel,, Longhouse, Samudera Hotel Kuching dan Hua Kuok Inn Oyo.
Mengulas lanjut, Fatimah mendedahkan bahawa atlet Para Sukma Sarawak akan menginap di Imperial Hotel.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.
Untuk rekod, sebanyak 10 jenis sukan para akan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, tenpin boling, boccia, boling padang, powerlifting, memanah dan catur membabitkan 328 acara.
Oleh Mohd Neenatul Aizal