SIBU: Festival Sastera Kanak-Kanak Sarawak 2024 (SCLF) bakal menampilkan lebih daripada 50 rakan kerjasama terdiri daripada pelbagai agensi, syarikat dan organisasi serta jemputan khas pencerita dari luar negara.
Menurut kenyataan bersama Pustaka Negeri Sarawak, Sibu dan SCLF, festival tahunan itu akan diadakan lagi pada 21 dan 22 September ini bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Festival bertemakan “Candy Fantasy Sweetlands,” anjuran Pustaka Negeri Sarawak Sibu ini bakal dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad di Pustaka Negeri Sarawak, Sibu.
Kenyataan itu turut memaklumkan antara aktiviti yang ditawarkan pada platform untuk meraikan bakat kanak-kanak dalam pelbagai bidang itu termasuk bengkel seni kraf, persembahan muzik, tarian, sesi bercerita, pertandingan, permainan, membuat pastri, pameran pendidikan dan banyak lagi.
“Dengan lebih daripada 100 aktiviti yang bakal diadakan, festival ini bertujuan memupuk kreativiti, mengasah bakat, dan membina kemahiran sosial dalam kalangan kanak-kanak, sambil menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan.
“Penyertaan ke festival ini adalah percuma dan terbuka kepada semua peringkat umur kanak-kanak,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Perkhidmatan Penglibatan Komuniti, Pustaka Sibu di talian 019-8193440.
Pustaka Sibu berharap acara ini dapat memberikan pengalaman yang bermanfaat dan menyeronokkan kepada semua pengunjung, terutamanya kanak-kanak yang terlibat.