KUALA LUMPUR: Penganjuran Program MADANI Rakyat (PMR) Sarawakku Sayang di Miri pada 27 hingga 29 September ini dijangka menarik kira-kira 100,000 pengunjung melalui pelbagai program dianjurkan.
Ketua Penyelaras PMR 2024 Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri Mohd Zainuddin Mohd Noor berkata, tarikan itu termasuk lebih 2,000 peluang pekerjaan disediakan oleh 20 syarikat besar melalui Karnival Kerjaya.
“Di sesetengah tempat seperti edisi Pulau Pinang dan Kuantan (Pahang), ada 400 hingga 500 orang yang memohon telah menerima surat tawaran kerja sebaik selesai ditemuduga pada hari berkenaan.
“Kita berharap inisiatif ini dapat membantu mereka menambah pendapatan keluarga untuk tempoh yang lama,” katanya menerusi temu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), semalam.
Selain itu, Mohd Zainuddin berkata, program dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan kerajaan negeri Sarawak itu turut menyediakan lebih 200 perkhidmatan langsung kepada rakyat.
Perkhidmatan yang ditawarkan antaranya semakan kelayakan memohon Geran Agropreneur Muda, yang menyediakan latihan dan bantuan kewangan untuk menjalankan perniagaan berasaskan pertanian serta industri makanan dan asas tani.
“Di peringkat kerajaan Sarawak pula, bantuan sewa rumah kepada anak muda yang berhijrah dari kawasan pedalaman ke bandar besar turut diberikan dengan amaun hingga RM200 sebulan bagi membantu mereka menangani kos sara hidup,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zainuddin juga berkata, Jualan MADANI akan diteruskan dengan potongan harga hingga 30 peratus selain pemberian pengurangan kadar saman trafik polis hingga 50 peratus dan penukaran 5,000 topi kaledar percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Beliau berkata untuk kemudahan pengunjung, perkhidmatan bas ulang-alik akan disediakan dari Stadium Miri ke tapak PMR dengan kekerapan setiap 20 hingga 30 minit.
Beliau berkata, kemuncak acara ialah majlis perasmian program yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September, bermula 2.30 hingga 4.30 petang.
“Kita harap pengujung dapat merancang perjalanan sebaik mungkin sepanjang program dan menjaga kesihatan mereka memandangkan cuaca di Miri agak panas,” katanya. – Bernama