SANTUBONG: Hari pertama Festival Nyamai Sarawak Gastronomi 2024 berlangsung menyaksikan reruai Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) menjadi tarikan pengunjung di Rumah Panjang Iban, Kampung Budaya Sarawak di sini, hari ini.
Kenyataan RECODA memaklumkan, pengunjung turut berpeluang mencuba pelbagai hidangan tradisional di reruai Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang meliputi wilayah tengah hingga ke utara Sarawak.
“Antara hidangan yang mencuri perhatian adalah pekasam ikan, linut, mi goreng belutak, tumpik, ayam pansoh, ais krim gula apong, serta kopi istimewa dari tanah tinggi Sarawak.
“Reruai RECODA turut dikunjungi oleh Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri turut merasai pelbagai hidangan tempatan yang ditawarkan,” katanya.
Festival tersebut berlangsung di Kampung Budaya Sarawak bermula 13 sehingga 15 September ini dibuka pada 8.30 pagi sehingga 6.30 petang dan kemasukan adalah percuma.