KEPALA BATAS: Pulau Pinang akan terlibat dalam sesi perbincangan lanjut dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan tiga negeri lain yang terpilih sebagai hos bersama dalam penganjuran temasya Sukan SEA 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata perbincangan yang akan disertai Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan diadakan sebaik sahaja selesai temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dan Hari Sukan Negara (HSN) bulan depan.
“Semalam saya sempat bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di mana (beliau memaklumkan) satu mesyuarat akan diadakan selepas Para SUKMA dan HSN bagi membincangkan maklumat selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Pulau Pinang ke temasya Para SUKMA Sarawak 2024 di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum mengambil sebarang keputusan lanjut berhubung jenis sukan yang akan diadakan di negeri itu dan hanya akan dimuktamadkan selepas perbincangan dengan semua pihak yang terlibat.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama temasya dwitahunan itu.
Malaysia pernah menjadi penganjur bagi Sukan SEA edisi 2001 dengan penganjuran bersama Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan apabila kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan 111 pingat emas.
— BERNAMA