PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato Seri Anwar lbrahim kerana menggandakan kadar pemberian khas interim untuk Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan.
Katanya, peningkatan sekali ganda itu diputuskan semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang berlangsung lebih dua jam di Kota Kinabalu semalam.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kerana di bawah Perlembagaan Persekutuan kita, tempoh semakan sepatutnya (setiap) lima tahun, tetapi perdana menteri telah mengumumkan jumlah yang disemak hanya dalam tempoh dua tahun.
“Peruntukan sementara tahun ini akan dimasukkan di bawah Bajet 2025. Justeru, saya berterima kasih kepada perdana menteri,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri SeMalaysia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak berhak mendapat peruntukan geran khas setiap tahun berdasarkan langkah-langkah tertentu dan tertakluk kepada kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan dan kajian semula hendaklah dilakukan setiap lima tahun sekali.
Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Sarawak berkata, belum ada persetujuan muktamad mengenai formula tetap untuk menentukan pemberian khas tahunan kepada kedua-dua negeri dengan perbincangan masih diteruskan.
Ketika ditanya mengenai tuntutan Sabah dan Sarawak untuk menambah bilangan wakil kedua-dua negeri di Dewan Rakyat sehingga 35 peratus, Abang Johari berkata perkara itu turut dibangkitkan semasa mesyuarat MA63 semalam.
“Ia dibangkitkan dan kami telah menyuarakan pendirian kami kerana di bawah MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), dinyatakan bahawa perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen mesti dijaga.
“Ini bermakna kepentingan kedua-dua negri perlu mempunyai sekurang-kurangnya 35 peratus perwakilan di Parlimen. Perkara ini telah dipersetujui pada dasarnya tetapi ia mesti dibincangkan dengan lebih mendalam,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN