KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan peningkatan setakat dagangan tengah hari ini, termasuk menampung sebahagian kerugian dialami susulan aktiviti jualan ketara sebelum ini, terutamanya membabitkan kaunter YTL.
Pada sesi ini, kaunter YTL Corporation dan YTL Power International masing-masing menokok 10 sen kepada RM2.50 dan RM3.50 yang secara gabungan menyumbang sebanyak 5.623 mata kepada indeks komposit.
Setakat 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.33 mata kepada 1,644.13 berbanding paras 1,639.80 pada akhir dagangan semalam.
Indeks itu dibuka menokok 4.24 mata ke paras 1,644.04 dan bergerak dalam julat 1,639.12 hingga 1,649.87 sepanjang tempoh dagangan pagi.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 509 berbanding 333 manakala 427 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,197 tidak diniagakan dan 26 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.59 bilion unit bernilai RM1.33 bilion.
Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan aktiviti memburu saham-saham berharga rendah muncul di pasaran saham tempatan susulan peningkatan semula di pasaran saham Amerika Syarikat selain kenaikan harga minyak mentah Brent.
“Bagaimanapun, aliran peningkatan saham-saham teknologi tempatan berkemungkinan dikekang oleh prestasi ringgit yang mengukuh.
“Selain itu, kami memilih sektor yang berteraskan perkembangan tempatan seperti pengguna, pembinaan, kewangan, bahan binaan dan utiliti yang berkemungkinan meraih manfaat daripada persekitaran ringgit yang positif,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Petronas Chemicals untung 10 sen kepada RM5.45, Press Metal naik sembilan sen kepada RM4.60, Tenaga Nasional menokok lapan sen kepada RM14.78 manakala Sime Darby menambah lima sen kepada RM2.31.
Kaunter paling untung didahului oleh United Plantations yang melonjak 60 sen kepada RM27.62, Malaysian Pacific Industries menambah 52 sen kepada RM27.34 dan Dutch Lady naik 50 sen kepada RM30.88.
Bagi saham aktif, Globetronics susut 2.5 sen kepada 54.5 sen, Alpha IVF meraih satu sen kepada 35.5 sen, waran Yew Lee Pacific tidak berubah pada 17.5 sen, OCR naik setengah sen kepada 5.5 sen manakala CIMB tidak berubah pada RM8.27.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 55.52 mata kepada 12,206.20, Indeks FBM Emas Shariah menambah 83.0 mata kepada 11,994.57 dan Indeks FBMT 100 naik 54.81 mata kepada 11,928.01.
Selain itu, Indeks FBM 70 melonjak 166.35 mata kepada 17,042.78 manakala Indeks FBM ACE naik 29.27 mata kepada 5,023.05.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 46.16 mata kepada 19,549.68, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.37 mata kepada 172.18, Indeks Tenaga menambah 4.71 mata kepada 839.89 manakala Indeks Perladangan meraih 35.10 mata kepada 7,181.46. – Bernama