SIBU: Junior Chamber International (JCI) Sibu menyambut kunjungan rasmi 14 delegasi dari JCI Tu Cheng, Taiwan dalam satu acara yang berlangsung selama tiga hari dua malam, baru-baru ini.
Menurut JCI Sibu menerusi kenyataan media, walaupun terletak di kawasan berbeza, kedua-dua organisasi berkongsi misi yang sama dalam mempromosikan pertukaran belia, kemajuan sosial dan kesejahteraan.Â
Kunjungan ini memberi peluang untuk kedua-dua pihak berinteraksi secara mendalam, berkongsi pengalaman, dan meneroka strategi pembangunan masa depan.
Acara tersebut turut menekankan pentingnya pemahaman, kepercayaan, dan kerjasama proaktif untuk membina persahabatan yang berkekalan dan mencapai pertumbuhan bersama.
Sebagai tanda penghargaan, JCI Sibu menganjurkan majlis makan malam besar yang memperingati 31 tahun hubungan antara kedua-dua organisasi.
Sepanjang lawatan, delegasi JCI Tu Cheng mengunjungi beberapa lokasi penting di Sibu termasuk Pasar Sentral, Pusat Warisan Sibu, Kuil Tua Pek Kong dan Liong Yeh Hin Medical Hall Sdn Bhd.
Kunjungan diakhiri dengan sesi dialog dan makan malam perpisahan untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama pada masa akan datang.
Oleh Akun Giman