PAKAN: Dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM90,000 telah diserahkan kepada 11 penerima.
Cek MRP tersebut diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom pada majlis penyerahan cek MRP DUN Pakan bertempat di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Pakan, petang semalam.
Penerima cek adalah Biro Wanita Rumah Bayang, Emperan Datuk Sungai Pinang, Rumah Akun dari Sungai Rusa, Biro Wanita Rumah Jembau dari Nanga Kedang Kota Pakan, Biro Wanita Rumah Bali dari Ulu Nunggang, Biro Wanita Rumah Agas dari Lubuk Perawan Pakan, Biro Wanita Rumah Janang dari Sungai Wong, Biro Wanita Rumah Empati dari Nanga Marau, Gerempung Indu Rumah Ali, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Matu dan JKKK Rumah Ajau Kota.
Mawan berkata, dana MRP tersebut membolehkan penerima untuk melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk untuk pembangunan di kawasan masing-masing.
“Ia boleh digunakan untuk kegunaan bersama dengan penduduk rumah panjang bagi menjalankan aktiviti rumah panjang.
“Dana MRP ini juga dapat digunakan untuk melaksanakan pelbagai program untuk memperkasakan komuniti setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Mawan yang juga Penasihat di Pejabat Premier (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) berharap agar rakyat sentiasa membangunkan tanah untuk pertanian dan seterusnya mengembangkan taraf hidup.
“Apa yang saya katakan…kita membangunkan tanah kerana tanah itu modal untuk kita mengusahakan pertanian yang mampan serta dapat memaksimumkan pendapatan.
“Saya berharap agar rakyat sentiasa membangunkan tanah sendiri untuk tujuan pertanian supaya sentiasa mengeluarkan hasil bagi pendapatan seisi rumah,” katanya.
Oleh Earl Anek