KUCHING: Filem Indie berjudul ‘Love Crush’ bakal peragakan keindahan bandar raya Kuching dan Bau, di samping mengangkat bakat kelahiran Sarawak dalam industri perfileman.
Menurut Pengarah filem tersebut, Johan Chairil, masyarakat pelbagai latar belakang di negeri ini menarik minatnya untuk membuat penggambaran di negeri ini, menggunakan hampir keseluruhan krunya dari Bumi Kenyalang.
Katanya, Sarawak memiliki potensi yang sangat besar untuk menjadi sebuah hab penggambaran.
“Sarawak, dengan pemandangan semula jadi yang menakjubkan, warisan budaya yang kaya dan komuniti pelbagai, menawarkan banyak peluang untuk pembuat filem.
“Dengan mempamerkan keindahan dan ciri unik Sarawak, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai pembuat filem untuk meneroka destinasi yang luar biasa ini sebagai lokasi penggambaran utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman penggambaran ‘Love Crush’ di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Johan menyasarkan filem yang akan ditayangkan di pawagam ini untuk mengutip RM200,000.
“Kalau kita boleh mengutip RM200,000 ia cukup baik, kerana ini adalah filem indie,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, kementeriannya akan sentiasa menyokong setiap pemain industri yang berniat untuk mempromosikan Sarawak.
Snowdan juga menggalakkan lebih ramai pembikin filem tempatan mahupun antarabangsa untuk membuat penggambaran di Sarawak kerana ia boleh membantu mengangkat nama Sarawak di persada dunia.
“Selagi mana ia bertujuan untuk membantu mempromosikan Sarawak, kita akan sokong, kita ambil contoh Filem Kong: Skull Island, filem ini membuat penggambarannya di Vietnam. Susulan itu, ramai pelancong tertarik datang ke Vietnam untuk melawat Skull Island ini,”jelasnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Gambar
(Dari kiri) Agnes Jabin, Johan Chairil Datuk Snowdan Lawan ,Joshua James, Rewena hadir pada sidang media filem ‘Love Crush’ di Kuching hari ini. Foto Herriey Naha.