SKRANG: Dua kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) cedera parah selepas ambulans yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Memaloi, dekat Skrang, awal pagi tadi.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.24 pagi.
“Setibanya anggota bomba di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah van ambulans KKM melanggar belakang lori treler yang berhenti di bahu jalan.
“Terdapat dua orang mangsa cedera parah iaitu kakitangan KKM, seorang lelaki (pemandu) dan seorang wanita (penumpang),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Rais berkata kedua-dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian.
“Mangsa wanita yang merupakan seorang jururawat telah dibawa oleh pihak ambulans KKM ke Hospital Betong.
“Mangsa pemandu ambulans dibawa oleh pihak ambulans KKM Hospital Sri Aman untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau menambah, anggota bomba seterusnya membuat pembersihan di lokasi kejadian bagi memastikan keadaan selamat.
Gambar
Satu kemalangan melibatkan sebuah ambulan KKM dengan lori treler yang berlaku di Jalan Memaloi, Skrang pagi tadi.