ISTANBUL: Musim panas 2024 telah menetapkan penanda aras suhu baharu di seluruh dunia, lapor Agensi Anadolu, memetik data yang dikeluarkan hari ini oleh Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus (C3S).
Menurut pemantau iklim Kesatuan Eropah, suhu purata global bagi tempoh Jun hingga Ogos mencapai 0.69 darjah Celcius melebihi purata 1991-2020, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 0.66 darjah Celcius yang dicatat pada 2023.
Eropah mengalami musim panas paling panas dalam sejarah, dengan suhu meningkat kepada 1.54 darjah Celcius melebihi purata, melebihi rekod sebelumnya iaitu 1.34 darjah Celcius yang ditetapkan pada 2022.
Menurut C3S, Ogos 2024 menyamai Ogos 2023 sebagai Ogos paling panas di seluruh dunia dengan purata suhu udara permukaan 16.82 darjah Celcius, 0.71 darjah Celcius melebihi purata. Ia menandakan bulan ke-13 dalam tempoh 14 bulan di mana purata suhu udara permukaan global melebihi 1.5 darjah Celcius melebihi paras pra-industri.
Menurut laporan itu, tempoh 12 bulan dari September 2023 hingga Ogos 2024 juga merupakan yang paling panas dalam rekod, pada 0.76 darjah Celcius melebihi purata dan 1.64 darjah Celcius di atas paras pra-industri.
Copernicus berkata anomali suhu purata global tahun sehingga kini (Januari hingga Ogos 2024) ialah 0.70 darjah Celcius melebihi purata, menjadikannya semakin berkemungkinan bahawa 2024 akan menjadi tahun paling panas dalam rekod.
“Peristiwa ekstrem berkaitan suhu yang disaksikan pada musim panas ini hanya akan menjadi lebih sengit, dengan akibat yang lebih dahsyat kepada manusia dan planet ini, melainkan kita mengambil tindakan segera untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” kata Timbalan Pengarah C3S, Samantha Burgess. – BERNAMA-ANADOLU
Gambar
Eropah mengalami musim panas paling panas dalam sejarah, dengan suhu meningkat kepada 1.54 darjah Celsius.