PARIS: Pecutan terakhir atlet Mauritius menidakkan impian Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi untuk meraih pingat gangsa acara 400 meter (m) lelaki T20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik Paris 2024 semalam.
Muhammad Ammar Aiman memulakan larian dengan memberangsangkan dan berada dalam kelompok tiga terbaik sebelum Yovanni Philippe meningkatkan pecutan pada 10m terakhir untuk memintas wakil negara sekali gus menyambar gangsa di Stade de France.
Atlet berusia 22 tahun yang membuat kemunculan pertama di pentas Paralimpik mencatatkan 48.38 saat (s) untuk menamatkan larian di tempat keempat, 0.08s di belakang Philippe.
Pingat emas menjadi milik Jhon Sebastian Obando Asprilla dari Colombia yang tiba di garisan penamat dengan catatan 48.09s dan meninggalkan pencabar terdekat dari Sepanyol, David Jose Pineda Mejia yang meraih perak dengan 48.24s.
Sementara itu, Muhammad Ammar Aiman berkata badannya tidak begitu cergas setelah berada dalam bilik panggilan untuk tempoh lama sebelum acara bermula, dan ia menjejaskan rentak lariannya selain perasaan gugup beraksi di hadapan penonton yang ramai dalam stadium berkenaan.
“Saya kecewa tapi nak buat macam mana kerana Allah SWT tak bagi lagi (pingat). Saya memang tak biasa duduk dalam bilik panggilan lama hingga badan saya sejuk dan peserta lain pun ramai yang kejang,” katanya.
Seorang lagi wakil negara yang juga juara dunia Muhammad Nazmi Nasri, kurang menyerlah pada penampilan kali ini apabila menamatkan saingan di tempat kelima acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) dengan lompatan sejauh 6.00m pada percubaan kedua.
Pingat emas dimenangi atlet Argentina Brian Lionel Impellizzeri dengan lompatan 6.42m manakala perak diraih Samson Opiyo dari Kenya (6.20m) dan gangsa milik Mateus Evangelista Cardoso dari Brazil (6.20m).– BERNAMA
Gambar
Muhammad Ammar Aiman (dua, kanan) beraksi dalam acara 400m lelaki (kecacatan intelektual) peringkat akhir Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France, Paris, 4 Sept 2024. –fotoBERNAMA