PETRA JAYA: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah akan mengenal pasti agensi yang tidak mengambil serius permohonan bantuan dari penganjur muda untuk tujuan penganjuran acara dan festival.
Katanya, beliau mengetahui bahawa ada agensi kerajaan tidak memberi layanan yang sepatutnya kepada penganjur muda.
“Saya mendengar bahawa ada agensi bila lihat penganjurnya orang muda, tidak berapa mahu layan, saya sangat tersinggung apabila mendengar perkara ini. Saya akan mengenal pasti punca masalah ini.
“Saya baru difahamkan mengenai perkara ini sebentar tadi. Saya akan mengenal pasti sama ada ia (punca masalah) adalah dari agensi dibawah kementerian saya sendiri, atau kementerian lain.
“Bila hospitaliti maju, semua seronok nak ambil nama, tetapi bila tiba masa untuk memberi bantuan kepada penganjur muda sangat sukar untuk mereka menyokongnya,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Pancaragam dan Orkestra Antarabangsa Sarawak (SIBOFest) di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai SIBOFest, Abdul Karim menyatakan, festival ini bakal menjadi platform menghimpunkan pencinta muzik pancaragam dan orkestra seluruh negara.
Katanya, ia bakal disertai lebih 200 peserta dan 15 pengajar dari seluruh negara termasuk penyertaan dari negara luar seperti Singapura dan Jepun.
Festival yang julung kali diadakan itu akan berlangsung selama empat hari bermula 17 hingga 19 September ini di Sekolah Menengah Lodge, Kuching dan acara kemuncak pada 20 September di Hotel Waterfront, Kuching.
Katanya, acara kemuncak festival akan menampilkan persembahan daripada artis tempatan dan antarabangsa seperti At Adau, The Band Lab dan Band Simfoni Sekolah Tinggi Aikodai Meidan dari Jepun.
“Oleh itu, festival ini memberikan faedah ekonomi yang ketara dengan menarik pelancong, mempromosikan perniagaan tempatan dan meningkatkan reputasi Sarawak sebagai destinasi budaya di persada antarabangsa.
“Selain daripada mengambil video, gambar, mereka pasti akan mencuba makanan tempatan kita. Mereka akan membawa pulang sedikit cenderahati.
“Anda lihat, sepanjang perjalanan, industri pelancongan, perhotelan pasti akan mendapat manfaat. Kita boleh lihat Sarawak menganjurkan SUKMA baru-baru ini, banyak hotel, inap desa dan hotel bajet penuh ditempah,” jelasnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Gambar
Abdul Karim pada sidang media Festival Pancaragam dan Orkestra Antarabangsa Sarawak (SIBOFest) di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini. Foto HERRIEY NAHA