MUKAH: Seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Batang Oya dekat sini hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Dos Katek, berasal dari Kampung Klid Dalat, terlibat dalam perlanggaran antara sebuah bot laju dan sebuah perahu di kawasan antara Kampung Sua dan Kampung Klid Batang Oya.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mangsa dipercayai terkena bahagian hadapan bot laju sebelum terjatuh ke dalam sungai.
“Pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 9.42 pagi dan segera mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi untuk melakukan pencarian.
“Bomba bersama pihak polis bergerak dari Tebingan Sungai Dalat ke lokasi kejadian menggunakan bot polis, yang mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit melalui laluan sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehingga kini, pencarian masih giat dijalankan, namun mangsa masih belum ditemui.
Gambar
Warga emas dikhuatiri lemas selepas pelanggaran antara sebuah bot laju dan sebuah perahu di Sungai Batang Oya hari ini.