MANCHESTER: Arne Slot lulus ujian besar pertamanya sebagai pengurus Liverpool dengan kemenangan cemerlang 3-0 menentang Manchester United hasil dua jaringan Luis Diaz dan satu gol Mohamed Salah awal pagi tadi.
Slot mempunyai tugas yang mencabar untuk menggantikan Jurgen Klopp tetapi memulakan dengan sempurna dengan rekod 100 peratus daripada tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk berada di tangga teratas bersama Manchester City.
“Saya rasa segala yang anda mahu lihat sebagai seorang pengurus ditunjukkan dalam perlawanan ini,” kata Slot.
Kekalahan berturut-turut kedua menjadikan bos United, Erik ten Hag, sudah berada di bawah tekanan hanya selepas tiga perlawanan musim baru.
Pengurus Belanda itu terselamat daripada penilaian dalaman pada akhir musim lalu selepas menyaksikan kelab mencapai kedudukan EPL yang paling teruk iaitu kelapan.
Kemenangan mengejut di final Piala FA menentang Manchester City menyelamatkan kerja Ten Hag dan memberikan harapan untuk permulaan baru, terutamanya selepas mendapatkan sokongan dengan perbelanjaan £200 juta (RM1.1 bilion) untuk pasaran perpindahan.
Namun, semua tanda-tanda kegagalan United musim lalu terdedah oleh kunjungan yang mengagumkan dari Liverpool.
Casemiro menjadi mangsa apabila pemain Brazil itu bertanggungjawab terhadap kedua-dua gol Diaz dan dikeluarkan pada separuh masa pertama untuk memberi laluan kepada pemain muda Toby Collyer.
Casemiro kelihatan lebih baik dalam perlawanan pembukaan musim ini selepas mengalami prestasi buruk musim lalu.
Hantaran lemah bekas pemain tengah Real Madrid itu dirampas Ryan Gravenberch yang memberi kepada Salah dan hantaran tinggi bintang Mesir itu ditanduk masuk Diaz.
Anak buah Ten Hag tersembam lagi selepas gol kedua tiga minit sebelum separuh masa pertama tamat.
Diaz merampas bola kawalan Casemiro yang kemudian berlari ke dalam kotak penalti untuk menyempurnakan hantaran Salah.
Salah memperoleh gol kebiasaannya menentang United pada minit ke-56 untuk menambah kesakitan pada luka tuan rumah.
Penyudah menakjubkan itu berpunca daripada hantaran Dominik Szoboszlai adalah gol ke-15 dalam 16 pertemuan menentang Red Devils. – AFP
Gambar
Pemain Liverpool, Luis Diaz meraikan gol kedua jaringannya ketika menentang Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Manchester sebentar tadi. – Foto AFP