PARIS: Sukan Paralimpik Paris menobatkan juara pertamanya awal pagi tadi dengan perenang, Ugo Didier meraih emas pertama untuk tuan rumah di Arena La Defense.
Didier, yang dilahirkan dengan kaki bengkok dan penggunaan kaki yang terhad, memenangi acara 400m gaya bebas dalam kategori S9.
Dia menerima sokongan hebat penonton tuan rumah dalam suasana yang mengingatkan ketika Leon Marchand memenangi empat pingat emas di Olimpik.
Didier, 22 tahun, mencatat masa 4 minit 12.55 saat untuk mengatasi Simone Barlaam dari Itali dengan jarak satu setengah saat.
“Perlumbaan ini mencerminkan apa yang saya lakukan sepanjang latihan tahun ini,” kata Didier kepada France Televisions.
“Ia sangat gila di sini. Sorakan penonton sangat hebat. Saya gembira dapat memenangi emas di negara sendiri,” tambahnya.
Sementara itu, perenang Brazil, Gabrielzinho memenangi gelaran Paralimpik ketiganya dalam kariernya.
Atlet berusia 22 tahun itu, yang tidak mempunyai tangan dan lengannya serta kakinya mengalami atrofi, meraih gelaran 100m kuak lentang S2 lelaki.- AFP.
Gambar
Ugo Didier meraikan kejayaannya meraih pingat emas. Foto AFP