PARIS: Kejayaan gemilang kontinjen negara membawa pulang tiga emas pada Sukan Paralimpik Rio 2016 bukan sahaja melakar sejarah buat Malaysia, malah turut membawa dimensi baharu buat dunia sukan para tanah air.
Pencapaian membanggakan di bumi Brazil oleh tiga jaguh olahraga para negara iaitu Datuk Abdul Latif Romly, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi ternyata memberi impak besar terhadap perkembangan dunia sukan para dalam kalangan masyarakat yang sebelum ini mungkin memandang sepi kelibat mereka dalam mana-mana kejohanan ataupun temasya sukan disertai.
Kesinambungan kejayaan di Rio 2016 menyaksikan barisan atlet luar biasa ini tidak menoleh ke belakang, malah terus mengorak langkah beraksi cemerlang membawa pulang tiga emas dan dua perak di Tokyo 2020 yang merupakan pencapaian terbaik Malaysia di pentas Paralimpik setakat ini.
Bermula esok, obor perjuangan kontinjen negara akan terus dinyalakan pada Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan misi memburu empat lagi emas bagi melengkapkan kutipan 10 emas secara keseluruhan dalam temasya sukan berprestij dunia itu sekali gus memahat satu lagi sejarah baharu sukan negara.
Tumpuan utama di ibu negara Perancis pastinya terarah kepada Abdul Latif yang memburu hatrik emas acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual), selain hasrat memecahkan rekod dunia miliknya sejauh 7.64 meter (m) pada Sukan Para Asia 2018 di Indonesia.
Bagaimanapun, atlet berusia 27 tahun itu tidak boleh terlalu selesa dengan status selaku juara bertahan apabila perlu berwaspada dengan ancaman Iakushev Matvei dari Rusia yang bakal bertanding atas tiket Atlet Neutral Paralimpik.
Matvei bakal menjadi cabaran besar buat atlet dari Perlis itu untuk kekal mendominasi acara berkenaan selepas lawan berusia 21 tahun itu merekodkan catatan peribadi lebih baik musim ini iaitu 7.40m berbanding 7.37m dilakukannya.
Saingan di Paris 2024 akan menjadi medan “lepas geram” buat Muhammad Ziyad untuk merampas emas lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) selepas dinafikan pingat terbabit pada edisi Tokyo 2020 gara-gara lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Kejutan mungkin boleh dilakukan permata baharu Muhammad Nazmi Nasri yang bersaing dalam acara lompat jauh T37 (kecacatan fizikal), seandainya dapat mengulangi magis merangkul emas dengan catatan 6.13m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun pada Mei lepas.
Sandaran juga boleh diletakkan di bahu tiga lagi atlet lelaki yang turut menyerlah di Kobe iaitu pemenang perak 100m T44 (kecacatan fizikal) Eddy Bernard dan dua pemenang gangsa melibatkan atlet lompat jauh T12 (masalah penglihatan) Jonathan Wong Kar Gee serta Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi yang beraksi 400m T20 (kecacatan intelektual) untuk menjelmakan kilauan pingat di Paris.
Reputasi sebagai pemegang rekod dunia iaitu 231 kilogram (kg) dan temasya 228kg meletakkan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin sebagai pilihan utama mempertahankan emas kategori 72kg lelaki kali ini.
Bukan itu sahaja, jurang jumlah angkatan badang negara dari Sarawak itu juga agak jauh jika dibandingkan dengan pencabar terdekatnya Donato Telesca dari Itali yang merekodkan angkatan terbaik 216kg.
Persoalan juga mungkin timbul mengenai sejauh mana kemampuan pemenang pingat perak kategori 107kg lelaki Tokyo 2020 Jong Yee Khie untuk menaiki podium di Paris 2024 selepas berkedudukan kelima terbaik dunia dengan angkatan 230kg ketika ini.
Selain Bonnie dan Yee Khie, kem powerlifting negara akan diperkuat dengan kehadiran pendatang baharu Nicodemus Manggoi Moses yang bakal bersaing dalam kategori 97kg lelaki.
Keunggulan Cheah Liek Hou yang turun dengan status pemenang emas perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Tokyo 2020 dan pemain nombor satu dunia pastinya terus ditagih kem badminton para negara untuk sekali lagi melihatnya meraih kedudukan tertinggi podium di sini.
Juara dunia lapan kali itu pada masa sama tidak boleh mendabik dada dengan kelebihan dimilikinya apabila perlu bijak membaca strategi pencabar terdekatnya dan pemain nombor dua dunia Fang Jen-Yu dari Taiwan, selain musuh ketatnya dari Indonesia Dheva Anrimusthi yang pernah mengecewakannya 21-18, 19-21, 17-21 pada final Sukan Para Asia (APG) Hangzhou 2022 di China, Oktober tahun lepas.
Liek Hou juga perlu berhati-hati dengan rakan sepasukannya serta pemain keempat dunia Muhammad Fareez Anuar yang pastinya “cukup masak” dengan gaya permainan dan mungkin memiliki ramuan untuk menumbangkannya di Porte de La Chapelle Arena.
Dalam pada itu, kem badminton para negara juga mempertaruhkan dua pemain kerusi roda – Muhammad Ikhwan Ramli (WH1) dan Noor Azwan Noorlan (WH2) – serta pemenang perak perseorangan lelaki SL4 (kecacatan fizikal) APG Hangzhou 2022 Mohd Amin Burhanuddin, bagi mengintai peluang membawa pulang pingat dari Paris.
Ketiadaan “pembunuh senyap” dan bekas jaguh boccia negara Chew Wei Lun yang bersara sejurus menyumbang perak acara individu BC1 (kecacatan fizikal) pada edisi lepas, membuka ruang buat tiga atlet negara dibarisi Noor Askuzaimey Mat Salim, Abdul Razzaq Abdul Rahman dan Lee Chee Hoong meneruskan legasinya di pentas Paralimpik.
Pencapaian Noor Askuzaimey yang beraksi dalam acara individu BC4 wanita (kecacatan fizikal) bukanlah calang-calang apabila beliau merupakan pemenang emas APG 2022, selain kejayaan merangkul pingat perak individu lelaki BC2 (kecacatan fizikal) oleh Chee Hoong, juga pada temasya sukan sama, memberi sinar harapan baharu buat kem boccia negara di sini.
Selepas muncul juara dunia 2019, prestasi jaguh memanah para negara S. Suresh yang bersaing dalam acara recurve agak merudum termasuk terkandas awal pada peringkat penyingkiran 1/16 ketika penampilan sulung Sukan Paralimpik 2020 di tangan wakil Jawatankuasa Paralimpik Rusia Bato Tsydendorzhiev, 2-6.
Igauan buruk di Tokyo 2020 diharapkan dapat mematangkan Suresh yang bakal diiringi dua teman seperjuangan baharu bagi acara compound iaitu G. Daneshen (lelaki) dan atlet wanita terbaik Para Sukan Malaysia 2022 Nur Jannaton Abdul Jalil.
Sama seperti kem olahraga para negara, skuad berbasikal para negara juga menyenaraikan enam atlet diketuai Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin yang pernah menyambar gangsa ujian masa 1 kilometer (km) lelaki C1 (kecacatan fizikal) pada Kejohanan Trek Berbasikal Para Dunia 2024 di Rio de Janeiro, Brazil.
Kejayaan di Brazil boleh menjadi tonik berharga buat atlet dari Kuala Kangsar, Perak itu apabila bakal menyertai empat acara keseluruhan termasuk kejar-mengejar 3,000 meter (m) lelaki C1 yang menjadi sandaran kem berbasikal para untuk menamatkan cabaran pada kedudukan podium dalam penampilan Sukan Paralimpik kedua selepas pulang dengan tangan kosong dari Tokyo 2020.
Selain Mohamad Yusof Hafizi, skuad berbasikal para negara di Paris akan dianggotai Muhammad Adi Raimie Amizazahan dan empat atlet wanita iaitu Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama jurumudinya Nurul Suhada Zainal dan Nur Suraiya Muhamad Zamri-Farina Shawati Mohd Adnan (jurumudi).
Baru-baru ini, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin meramalkan keajaiban mungkin boleh dijelmakan kem renang para negara yang membariskan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dan Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan bagi saingan berlangsung di Paris La Defense Arena.
Biarpun Megat D Shahriman enggan mendedahkan perenang yang akan membuat kejutan, segala-galanya terserah kepada Muhammad Nur Syaiful yang akan beraksi dalam empat acara termasuk 50m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) mahupun Muhammad Imaan Aiman menerusi acara 100m kuak lentang S14 (kecacatan intelektual) untuk menampilkan kuakan bertenaga yang boleh menggegarkan Paris.
Pemain tenis kerusi roda negara Abu Samah Borhan perlu membuktikan alasan beliau layak beraksi di pentas Paralimpik buat kali ketiga berturut-turut biarpun namanya disenaraikan pada saat akhir ke Paris menerusi slot “bipartite” dengan tampil lebih garang di sini selepas pulang awal pada Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Selepas beraksi dalam acara perseorangan lelaki pada dua edisi lepas, tugas berganda menanti Abu Samah di Paris apabila turut disenaraikan untuk acara beregu bersama gandingannya Mohamad Yusshazwan Yusuf yang terlebih dahulu layak secara merit ke Paris 2024 bagi acara perseorangan lelaki.
Biarpun menghantar sebanyak 30 atlet dari lapan jenis sukan yang merupakan jumlah kontinjen paling besar negara dalam sejarah Sukan Paralimpik sejak mula menyertainya pada edisi 1972 di Heidelberg, Jerman, Malaysia perlu menampikan semangat waja tinggi agar sorakan kejayaan mereka tidak tenggelam di sebalik lebih 4,000 atlet yang mewarnai Paris 2024.
Meminjam kata-kata rakyat Perancis, bonne chance (selamat maju jaya) kepada barisan atlet luar biasa negara pada Sukan Paralimpik Paris 2024! – Bernama