LIONEL Messi akan cergas untuk beraksi dalam perlawanan pertama Barcelona ketika menentang Real Mallorca walaupun terdapat sedikit ketegangan di paha kanannya, kata jurulatih Quique Setien semalam.
Messi berlatih bersendirian kelmarin di Camp Nou setelah mengetepikan dua sesi berpasukan sebelumnya sekali gus menimbulkan keraguan mengenai penglibatannya dalam kunjungan ke Mallorca nanti.
Tetapi ketika ditanya apakah Messi akan dapat bermain pada hujung minggu depan, Setien bekata kepada Movistar pada hari Isnin: “Messi bukan satu-satunya yang belum berlatih dan merasa tidak selesa.
“Itulah yang telah berlaku kepada semua orang atau hampir semua orang sejak mereka kembali. Ia sedikit ketegangan dan kami dapat mengawalnya. Dia melakukannya dengan sempurna dan tidak akan menghadapi masalah,” jelasnya.
Barcelona pada Sabtu lalu menyatakan bahawa Messi harus kembali menjalani latihan penuh dalam beberapa hari tetapi ketiadaannya menjadi perhatian kerana skuad hanya mempunyai 10 hari untuk berlatih bersama sebelum La Liga kembali.
Messi turut mengalami musim yang dijejaskan oleh kecederaan.
Pemain berusia 32 tahun itu diketepikan selama enam minggu antara Ogos dan September kerana mengalami kecederaan betis dan kemudian pada akhir September, dia terlepas satu minggu lagi kerana masalah di paha kirinya.
Setelah kembali sihat, dia dengan cepat menemui rentak dengan menjaringkan 24 gol daripada 31 penampilan bagi membantu Barcelona mempunyai kelebihan dua mata di tangga teratas La Liga.
Setien juga memberi maklumat terkini mengenai kecergasan Luis Suarez yang telah diberi lampu hijau oleh kelab untuk kembali setelah menjalani pembedahan lutut kanan pada Januari.
“Dia lebih baik daripada yang kami harapkan,” kata Setien.
“Tetapi persoalannya adalah adakah dia bersedia setelah sekian lama dan apakah dia sudah bresedia untuk bermula,” ujar beliau lagi.
La Liga akan disambung semula pada Jumaat ini dengan Sevilla menentang Real Betis setelah berehat tiga bulan kerana wabak Covid-19.- AFP