DALAM siaran podcast ‘Keluar Sekejap’, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan kepentingan parti lebih besar daripada dirinya sebagai individu. Kenyataan tersebut keluar apabila moderator program itu cuba melakukan provokasi kerana menganggap Premier seolah-olah diketepikan dalam politik apabila Pehin Sri Adenan Satem diberikan laluan oleh Ketua Menteri ketika itu, Tun Abdul Taib Mahmud untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak.
Namun, Abang Johari tidak melihat perkara tersebut sebagai isu besar kerana beliau berpegang kepada budaya politik setia dan taat kepada parti yang menjadi tradisi dan amalan politik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Bagi Abang Johari sesiapa sahaja boleh menjadi orang nombor satu, nombor dua atau nombor tiga, namun sebagai ahli parti yang perlu diserlahkan adalah membuat sumbangan kepada parti.
Meskipun beliau pernah tidak terpilih mengambilalih jawatan tersebut, sebaliknya digantikan dengan Allahyarham Adenan Satem, beliau tahu Abdul Taib mempunyai kebijaksanaan dan alasan tersendiri. Bagi Abang Johari walaupun pangkat itu satu (atau keutamaan) tetapi kena sedar bahawa yang utama ialah menghormati pimpinan tinggi parti, taat kepada kepimpinan dan tidak begitu taksub dengan jawatan.
Tambah Abang Johari, “ada penyokong tanya mengapa tidak lawan? Beliau jawab buat apa nak lawan, beri khidmat dan terus berkerja sahaja lebih penting kerana akhirnya Tuhan akan menentukan”. Selepas Adenan meninggal dunia, Tun Taib meminta Abang Johari mengetuai jawatan Ketua Menteri dengan sokongan parti dan komponen parti lain.
BUDAYA POLITIK MURNI
Kenyataan tersebut perlu direnungi oleh pemimpin pelapis dan anak-anak muda yang baru berkecimpung dalam dunia politik. Kenyataan tersebut menunjukkan sikap matang dan pandangan luasnya dalam berpolitik lebih-lebih lagi, kebanyakan orang lain sibuk berpolitik untuk kuasa dan menjadi orang nombor satu. Bagi Premier, menjadi orang nombor satu bukanlah satu keutamaan, sebaliknya bekerja untuk rakyat dan berbakti untuk kawasan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat, itulah yang terbaik.
Perkara ini diberitahu oleh beliau kepada moderator (podcast) ketika beliau menjadi Menteri, beliau menjadikan Sibu sebagai bandar hidup dan mengubah landskap pelancongan yang berpotensi besar. Sebenarnya, ketika itulah juga Abang Johari mengetuai delegasi ke Universiti Oxford dan membawa persembahan Perkampungan Budaya untuk membuat persembahan budaya Sarawak julung kali di universiti terkemuka dunia itu. Ia menjadi sebahagian projek Asia Tenggara yang Abang Johari menjadi pengucaptama dalam seminar besar itu.
Sudah tentu jawapan tersebut agak berbeza dengan perlakuan moderator yang ketika pilihan raya lalu, bertindak melawan suara arus perdana parti, mengkritik kepimpinan parti sendiri secara terbuka seolah-olah tiada saluran dalaman parti dan cuba menyingkirkan kepimpinan tertinggi mereka sendiri. Hal ini kerana, beliau adalah kelompok kluster Kabinet bersama sekutu politik seperti Annuar Musa, Noh Omar, Shahidan Kassim, Ismail Sabri yang dilihat cuba menyinggirkan kluster Menara Dato Onn yang terdiri daripada kepimimpinan tetinggi parti.
ASPIRASI PREMIER DAN ASPIRASI SARAWAK
Berdasarkan pendirian dan sikap Premier, ternyata beliau mementingkan keutamaan kolektif berbanding individu. Premier menekankan bahawa perjuangan politik bukanlah tentang kepentingan peribadi atau individu tetapi lebih kepada mencapai matlamat kolektif yang lebih besar. Perkara ini bermaksud kepentingan dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan harus diberi keutamaan dalam setiap keputusan politik dan ini selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi, iaitu kepentingan awam diutamakan.
Parti politik juga dilihat sebagai alat atau instrumen untuk mencapai visi dan misi yang lebih besar bagi negeri dan rakyat dan mencakupi segala usaha untuk memperbaiki infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan lain-lain aspek kehidupan yang memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan. Premier menunjukkan bahawa keberhasilan parti politik dalam mencapai matlamat ini adalah lebih penting daripada agenda sempit individu dalam parti. Begitu juga bahawa perlu ada pengorbanan peribadi untuk kepentingan awam dan perlu meletakkan kepentingan peribadi mereka di belakang untuk memastikan bahawa kepentingan rakyat dijaga termasuk bersedia mengambil keputusan yang mungkin tidak popular atau mengorbankan masa dan tenaga demi kepentingan negeri dan rakyat.
Dalam konteks Sarawak, kestabilan politik adalah penting untuk memastikan pembangunan berterusan. Dengan menekan bahawa kepentingan parti lebih besar daripada individu, premier ingin memastikan bahawa parti tetap kuat dan stabil, yang secara langsung akan menyumbang kepada kestabilan politik negeri yang merupakan faktor penting dalam memastikan pembangunan jangka panjang dan kesejahteraan rakyat.
Premier juga dilihat menekankan kepentingan visi jangka panjang untuk Sarawak. Dengan mengutamakan perjuangan politik dan kepentingan parti, ini menunjukkan bahawa keputusan yang diambil adalah untuk manfaat jangka panjang, bukan sekadar untuk keuntungan segera. Perkara ini akan melibatkan perancangan strategik dan pelaksanaan dasar yang dirancang untuk memberi manfaat berterusan kepada negeri dan rakyat.
IDENTITI DAN MARUAH SARAWAK
Abang Johari menekankan bahawa perjuangan politik dan kepentingan parti adalah penting dalam memelihara identiti dan maruah Sarawak. Dalam suasana politik yang sering kali dipengaruhi oleh kepentingan luar, penting untuk parti politik tempatan mengekalkan fokus padda kepentingan negeri dan rakyatnya dan ini melibatkan usaha untuk melindungi warisan budaya, bahasa, dan tradisi Sarawak daripada pengaruh yang mungkin melemahkan identiti tempatan.
Dengan menekankan bahawa kepentingan parti melebihi individu, premier dilihat cuba memupuk budaya kepemimpinan yang berorientasikan kepada kepentingan awam dan bukan peribadi. Aspek ini penting untuk membina barisan pemimpin masa depan yang berintegriti, berwawasan dan komited kepada perjuangan parti dan negeri, termasuklah memberikan pendidikan politik dan latihan kepada generasi muda untuk memastikan kesinambungan kepimpinan yang kuat dan berdaya saing.
KECEKAPAN DAN KEBERKASANAN DALAM PENTADBIRAN
Kepentingan parti yang lebih besar daripada individu juga bermakna bahawa setiap ahli parti perlu bekerja secara efisien dan efektif untuk mencapai matlamat parti. Premier menekankan bahawa setiap anggota parti harus memberikan sumbangan mereka dengan sepenuh hati, tanpa mengutamakan kepentingan peribadi. Tujuannya adalah untuk memastikan setiap keputusan dan tindakan yang diambil adalah demi kepentingan rakyat dan bukan untuk keuntungan individu.
Pada masa sama, usaha juga untuk mengelak perpecahan dan konflik dalaman yang boleh melemahkan kemampuan parti untuk mencapai matlamat. Dengan menekankan kepentingan kolektif berbanding individu, premier cuba untuk mengelakkan situasi kepentingan peribadi boleh menyebabkan perpecahan dalam parti. Maka penting untuk memastikan parti tetap bersatu dan fokus pada matlamat utamanya, tanpa terganggu oleh perselisihan dalaman.
Dalam konteks politik Sarawak yang sering kali berhadapan dengan tekanan dan ancaman dari pihak luar, kepentingan parti yang melebihi individu adalah penting untuk memastikan parti tetap kukuh dan mampu menghadapi cabaran ini. Premier ingin menyatakan bahawa kekuatan parti dalam menghadapi ancaman luar adalah hasil dari kesatuan dan kerjasama semua anggotanya yang meletakkan kepentingan kolektif di atas kepentingan peribadi.
KEBERHASILAN
Begitu juga untuk memastikan setiap dasar yang dirancang oleh parti dapat dilaksanakan dengan berkesan, kerjasama dan komitmen dari setiap anggota parti adalah penting. Premier menekankan bahawa untuk mencapai keberhasilan dalam pelaksanaan dasar-dasar ini, setiap anggota parti perlu memberikan sokongan penuh dan meletakkan kepentingan kolektif di atas kepentingan peribadi. Ini memastikan dasar-dasar yang dirancang dapat memberikan manfaat maksimum kepada rakyat Sarawak.
Sebenarnya Premier dilihat mahu menggalakkan penyertaan rakyat Sarawak dalam proses politik dalam perbincangan dan pengambilan keputusan yang berkaitan dengan pembangunan negeri. Dengan menunjukkan bahawa perjuangan politik adalah untuk kepentingan semua, Premier berharap dapat meningkatkan kesedaran dan penyertaan rakyat dalam mencapai matlamat bersama. Seterusnya menjadi suri teladan untuk membawa semua anggota parti dan rakyat bersatu padu dalam menghadapi cabaran termasuk isu-isu seperti pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan lain-lain yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk diselesaikan dengan berkesan.
Apa pun wawancara Premier baru-baru ini mencerminkan cita-cita Premier yang mahu memastikan kestabilan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sarawak secara keseluruhan mencerminkan prinsip-prinsip kolektivisme, pengorbanan peribadi dan visi jangka panjang yang penting dalam mencapai matlamat politik dan pembangunan negeri.
Seterusnya, membuktikan bahawa dalam perjuangan politik, kepentingan parti dan rakyat adalah lebih utama dan harus diutamakan berbanding kepentingan peribadi, demi memastikan pembangunan yang berterusan dan kesejahteraan semua.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).