KUCHING: Sarawak menetapkan pendirian dengan penggunaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah meskipun dikritik oleh pihak luar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, Sarawak tidak akan menyerah kalah dengan sebarang bentuk tekanan untuk tidak menggunakan bahasa tersebut di sekolah.
“Biarkan mereka mengkritik kita, tetapi yang lebih penting, kita tahu kepentingan bahasa Inggeris. Oleh itu, kita teruskan apa yang sesuai untuk rakyat kita sendiri di Sarawak.
“Sehingga kini, kerajaan Sarawak telah melakukan pelbagai inisiatif untuk membantu pelajar meningkatkan bahasa Inggeris.
“Apabila Sarawak ditawarkan untuk melakukan Program Dwi Bahasa (DLP) secara penuh di negeri ini, kami bersetuju walaupun tiada pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Tidak mengapa, kita boleh mencari duit tetapi masa depan lebih penting daripada apa yang kita ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak (SELES) 2024 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Dr Annuar turut menekankan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) supaya memudahkan sesuatu pekerjaan dan tidak ketinggalan dengan era digital ini.
“Saya telah melihat program yang banyak memberi penekanan kepada AI. Tiada pilihan untuk kita tidak menggunakan teknologi baharu yang dicipta, supaya pelaksanaan semua projek atau program dapat dilakukan dengan lancar dan berjaya,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal