KUALA LUMPUR: Pada Minggu Epidemiologi ke-24 tahun 2024, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,900 kes berbanding 2,508 kes pada minggu sebelumnya.
Terdapat lima (5) kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-24 2024.
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-24 adalah sebanyak 70,037 kes berbanding 54,139 kes bagi tempoh sama 2023.
Sementara itu, terdapat 53 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 39 kematian bagi tempoh sama pada 2023.
Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-24 adalah sebanyak 85 lokaliti berbanding 71 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
Dari 85 lokaliti yang dilaporkan, 58 lokaliti di Negeri Selangor, lapan (8) lokaliti di WPKL & Putrajaya, enam (6) lokaliti di Negeri Kedah, lima (5) lokaliti di Negeri Perak, empat (4) di lokaliti Negeri Sembilan, dua (2) lokaliti di Negeri Pulau Pinang dan dua (2) lokaliti Sarawak.
Bagi survelan chikungunya, terdapat tiga (3) kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-24.
Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 37 kes.
Tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-24.
Bagi survelan zika, sebanyak 1,024 sampel darah, enam (6) sampel urin dan dua (2) sampel cairan tulang belakang telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
Demam denggi boleh menyerang semua peringkat masyarakat tanpa mengira umur.
Bagaimanapun, risiko mendapat jangkitan demam denggi adalah lebih tinggi bagi individu yang tinggal atau berada di kawasan hotspot atau wabak denggi serta golongan bekerja dan pelajar yang kerap melakukan aktiviti di luar rumah.
Amalkan langkah-langkah pencegahan kendiri seperti memakai pakaian berwarna cerah dan menutup anggota badan yang terdedah terutama sewaktu menjalankan aktiviti di luar rumah pada waktu aktif gigitan nyamuk Aedes iaitu 5.00 pagi hingga 8.00 pagi dan 5.00 petang hingga 8.00 malam.
Cegah denggi sebelum terkena. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika. – Bernama