LONDON: Puteri Anne, adik kepada Raja Britain Raja Charles III, kini berada di hospital selepas mengalami kecederaan ringan di kepala dan konkusi dipercayai ditendang seekor kuda di estet Gatcombe Park miliknya di England, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Puteri Anne, seorang penunggang kuda yang memenangi pingat Olimpik, sedang berjalan di estet berkenaan pada petang Ahad ketika kejadian itu berlaku.
Perkhidmatan kecemasan telah dihantar ke estet itu dan selepas menerima rawatan perubatan di lokasi, puteri itu dipindahkan ke Hospital Southmead di Bristol untuk menjalani ujian, rawatan dan pemerhatian yang sewajarnya.
Istana Buckingham dalam satu kenyataan berkata: “Puteri Anne mengalami kecederaan ringan dan konkusi selepas insiden di estet Gatcombe Park petang semalam.
“Yang Amat Mulia masih berada di Hospital Southmead, Bristol, sebagai langkah berjaga-jaga untuk pemerhatian dan dijangka pulih sepenuhnya dengan cepat.
Raja telah dimaklumkan dengan rapi dan bersama seluruh keluarga diraja menzahirkan kasih sayang mereka dan ucap selamat kepada puteri untuk pemulihan yang cepat.
Punca sebenar kecederaan belum disahkan, tetapi pasukan perubatan Puteri Anne berkata kecederaan di kepala baginda adalah konsisten dengan kesan daripada kepala atau kaki kuda.
Difahamkan puteri berusia 73 tahun itu sedang berjalan dalam kawasan yang dilindungi di estet Gatcombe Park apabila insiden itu berlaku.
Suami Puteri Anne, Laksamana Madya Tim Laurence, yang berada di estet pada masa itu, menemani baginda ke hospital.
Jurucakap Istana Buckingham berkata: “Puteri Anne sedang pulih dengan baik, berada dalam keadaan selesa dan ditempatkan di hospital sebagai langkah berjaga-jaga untuk pemerhatian lanjut.”
Jurucakap itu menambah: “Puteri Anne menerima rawatan pakar yang sewajarnya. Tiada butiran lanjut akan dikongsi pada peringkat ini.
“Yang Amat Mulia akan kekal di Hospital Southmead melainkan atau sehingga pasukan perubatan baginda menasihati sebaliknya.” – Bernama – dpa