TANJUNG MANIS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis menahan sebuah bot nelayan tempatan disyaki melanggar syarat sah lesen kerana menunda ikan di kawasan kurang tujuh batu nautika dari pantai, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, bot ronda Maritim Malaysia ketika membuat pemantauan di sekitar perairan Muara Paloh telah mengesan bot yang mencurigakan itu sedang melakukan aktiviti perikanan kira-kira pada 6.25 pagi.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang tekong dan tiga orang awak-awak warga tempatan dalam lingkungan umur 22 hingga 45 tahun berada di atas bot.
“Bot nelayan tempatan terbabit seterusnya ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 sebelum dibawa ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.
Beliau berkata Maritim Malaysia menyarankan kepada semua komuniti maritim agar mematuhi undang-undang di laut dan amat mengalu-alukan perkongsian maklumat, aduan mahupun insiden kecemasan bagi menjamin kesejahteraan perairan negara.
“Sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di laut dan kegiatan yang mencurigakan termasuklah insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35728765 untuk maklum balas segera,” katanya.
Oleh Earl Anek