SIMANGGANG: Sebuah hentian rawat dan rehat (R&R) dicadang untuk dibangunkan berhampiran Jambatan Batang Lupar 2, dekat Kampung Tanjung Engkabang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata semasa mesyuarat dengan Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) baru-baru ini beliau telah mencadangkan agar dibangunkan sebuah R&R di kawasan terbabit.
“Pembinaan R&R itu nanti bukan sahaja untuk kemudahan pengunjung dari luar, tetapi ia sekali gus memberi peluang kepada penjaja-penjaja kecil untuk berniaga di R&R baharu itu nanti.
“Dan saya telah maklum kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), R&R yang saya cadangkan bersama Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli bukannya R&R yang biasa seperti di Jelukong dan di Layar, tetapi saya mahu R&R itu juga dibina sebuah taman rekreasi dan sebuah dataran untuk masyarakat disini mengadakan pelbagai aktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ibadah Qurban dan Tahlil Perdana serta Perasmian Rumah Wakaf Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir Simanggang dekat sini hari ini.
Dayang Noorazah berkata selain itu beliau turut menjelaskan terdapat tiga buah jalan kampung yang akan menembusi jalan menuju ke R&R baharu itu nanti iaitu di Kampung Tanjung Engkabang, Kampung Hilir Darat dan di Kampung Tanah Baru Sembau.
“Ketiga-tiga jalan tersebut akan dibina dan akan menembusi ke jalan R&R baharu, sekaligus akan memberi manfaat kepada kegiatan ekonomi dan sosial masyarakat di kampung-kampung yang terlibat,” katanya.
Tambah Dayang Noorazah, R&R yang bakal dibina itu nanti adalah turut berdekatan dengan projek pembinaan sambungan (extension) Waterfront Batang Lupar dari Kampung Hulu Lemanak sehingga ke Kampung Tanjung Engkabang.
“Saya mendapat maklum daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa projek pembinaan sambungan Waterfront Batang Lupar akan mula dibina pada tahun hadapan dimana peruntukan untuk membinanya telah diluluskan baru-baru ini,” katanya.
Untuk rekod projek pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 yang bercirikan jambatan kabel sepanjang 870 meter dengan ketinggian 145.5 meter itu termasuk jalan akses sepanjang 2.2 kilometer, apabila siap nanti bakal menjadi jambatan kabel tertinggi di Malaysia.
Selain itu, sebuah projek yang bakal dilaksanakan di kawasan tebingan Kampung Lemanak dan Ladong Sri Aman iaitu projek sambungan Waterfront Sungai Batang Lupar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan Sarawak telah meluluskan RM272 juta untuk membinanya.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang, Temenggong Mohamad Shah Achang, Pemanca Abang Norin Abang Noruddin dan Penghulu Rosli Ana.
Oleh Adi Safarman